Penggunaan, penjimatan Pas My50 boleh diketahui menerusi penjejak - Loke

Menteri Pengangkutan Anthony Loke (tengah) menunjukkan Penjejak Penjimatan Digital Pas My50 selepas sidang media pelancaran pas itu hari ini. - Foto Bernama
KUALA LUMPUR: Pengguna Pas My50 kini boleh mengetahui nilai penggunaan dan jumlah penjimatan sebenar tambang pengangkutan awam menerusi Penjejak Penjimatan Pas My50, iaitu ciri baharu yang diperkenalkan dalam aplikasi Touch 'n Go eWallet (TNG eWallet) yang dilancarkan Prasarana Malaysia Berhad (Prasarana), hari ini.
Selain itu, Prasarana turut memperluas kemudahan digital kepada pengguna termasuk membolehkan pembelian Pas Rapid Kota dan Pas Rapid Kembara menerusi mini Travel Pass dalam aplikasi TNG eWallet bagi memudahkan urusan pelancong serta mengurangkan kesesakan di stesen pengangkutan awam.
Menteri Pengangkutan Anthony Loke berkata inisiatif itu melengkapkan usaha pendigitalan Pas My50 yang sebelum ini hanya boleh diperbaharui di kaunter, sekali gus memudahkan pengguna memperbaharui pas bulanan secara dalam talian sejak Julai lepas tanpa perlu beratur di stesen.
"Kaedah digital menunjukkan trend peningkatan apabila lebih 50 peratus daripada lebih 200,000 pemegang Pas My50 setiap bulan memilih opsyen digital setakat akhir bulan lepas. Ini mewujudkan pengalaman perjalanan yang lebih lancar dan mengurangkan kesesakan di stesen.
Beliau berkata kerajaan membelanjakan hampir RM300 juta pada tahun lepas bagi menampung subsidi Pas My50 untuk menggalakkan penggunaan pengangkutan awam, walaupun peruntukan asal daripada Kementerian Kewangan hanya RM200 juta.
Beliau berkata Kementerian Pengangkutan kekal komited meneruskan inisiatif ini meskipun jumlah pengguna dijangka meningkat tahun ini terutamanya selepas pembukaan Transit Aliran Ringan 3 (LRT3) yang menghubungkan Bandar Utama di Petaling Jaya dengan Johan Setia di Klang.
Pas My50 membolehkan rakyat Malaysia menikmati perjalanan tanpa had selama 30 hari dengan harga RM50 untuk pengangkutan awam di Lembah Klang seperti LRT, MRT, Monorail, BRT, bas Rapid KL dan bas perantara MRT.
Sementara itu, Pas Rapid Kota menawarkan perjalanan tanpa had dengan bayaran RM10 sehari atau RM25 bagi tiga hari untuk rakyat Malaysia, manakala Pas Rapid Kembara yang khas untuk pelancong asing boleh dibeli pada harga RM25 sehari atau RM55 untuk tiga hari.
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami


