Skip to main content

Malaysia

[TERKINI] Kes pijak Al- Quran: Pelajar lelaki IPTA didakwa di Mahkamah pagi ini

awani
Tertuduh ketika tiba di Mahkamah Sesyen Kuantan pada Selasa. - Astro AWANI

KUANTAN: Seorang pelajar institusi pengajian tinggi (IPT) yang disyaki memijak al-Quran dan menyebarkan gambar tindakan itu di media sosial akan didakwa di Mahkamah Sesyen Kuantan pada Selasa.

Pelajar lelaki berusia 21 tahun dari sebuah IPTA itu dijangka dibawa ke Kompleks Mahkamah Kuantan sekitar 9 pagi bagi menghadapi dua pertuduhan.

Advertisement

Jabatan Peguam Negara (AGC) semalam memaklumkan bahawa tertuduh akan didakwa mengikut Seksyen 295 Kanun Keseksaan kerana mencemarkan objek suci, iaitu al-Quran, dengan perbuatan memijaknya yang dilakukan dengan pengetahuan bahawa ia merupakan satu penghinaan terhadap Islam.

Seksyen itu memperuntukkan hukuman penjara hingga dua tahun atau denda, atau kedua-duanya sekali.

Selain itu, pelajar berkenaan turut akan didakwa di bawah Seksyen 233(1)(a) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 kerana membuat dan memulakan suatu hantaran komunikasi bersifat jelik melampau dengan niat menyakitkan hati orang lain melalui aplikasi Threads.

Seksyen berkenaan membawa hukuman denda sehingga RM500,000 atau penjara hingga dua tahun, atau kedua-duanya.

Pada 25 Februari lalu, seorang pelajar Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA) ditahan bagi membantu siasatan kerana disyaki menghina Islam melalui tindakan memijak al-Quran dan memuat naik gambar tersebut ke media sosial.

Semalam, Ketua Polis Pahang Datuk Seri Yahaya Othman memaklumkan bahawa sebanyak 82 laporan polis diterima di seluruh negara berkaitan isu itu. Hasil siasatan mendapati terdapat keterangan mencukupi untuk mencadangkan pertuduhan terhadap individu terbabit.

Kes tersebut menarik perhatian ramai dan mencetuskan pelbagai reaksi susulan sensitiviti perbuatan yang menyentuh kesucian agama serta keharmonian masyarakat.

Must Watch Video

Advertisement: No Ad Tag found