[TERKINI] Mangsa banjir berat hati pindah ke PPS atas faktor keselamatan
![[TERKINI] Mangsa banjir berat hati pindah ke PPS atas faktor keselamatan [TERKINI] Mangsa banjir berat hati pindah ke PPS atas faktor keselamatan](https://resizer-vortals.eco.astro.com.my/tr:w-auto,h-auto,q-80,f-webp/https://img.astroawani.com/2025-11/71763991732_PADANGJAWABANJIR.jpg)
Hujan lebat sejak jam 8 malam Ahad mengakibatkan beberapa kawasan di sekitar Shah Alam ditenggelami air. - Gambar Astro AWANI
SHAH ALAM: Mangsa banjir di Padang Jawa di sini berat hati untuk berpindah ke pusat pemindahan sementara (PPS) atas faktor keselamatan kediaman.
Ringkasan AI
- Mangsa banjir di Padang Jawa enggan pindah ke pusat pemindahan sementara (PPS) disebabkan khawatir keselamatan kediaman terganggu.
- Penduduk berharap pihak berwajib, termasuk Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA), mengatasi punca banjir untuk mengelakkan kejadian berulang setiap tahun.
- Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Batu Tiga, Danial Al Rashid Haron Aminar Rashid, menggesa penduduk mendaftar di PPS bagi membolehkan bantuan berjalan lancar kepada mangsa banjir.
“Saya rasa, perlu juga pergi ke PPS tetapi memandangkan jika saya pergi PPS rumah akan kosong dan mungkin terjadi perkara yang tak diingini. Ada ‘benda’ yang tidak diundang akan datang dan ambil kesempatan,” katanya.
Abdul Rahman turut menggesa agar pihak Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) mengambil langkah segera agar insiden banjir yang seolah-olah menjadi acara tahunan tidak berulang.
“Saya harap pihak berwajib perbaiki longkang dan lorong dan saya rasa penduduk Padang Jawa perlukan longkang yang berfungsi,” katanya.
Ditanya mengenai barang yang sempat diselamatkan menurutnya kebanyakan dokumen-dokumen penting dan pakaian ahli keluarganya antara yang tenggelam pada banjir kali ini.
Dalam pada itu, penduduk, Rozamini Osman, menjelaskan, dia sempat menyelamatkan barangan penting seperti dokumen, al-Quran dan buku-buku di kediamannya dengan menggunakan kolam kanak-kanak.
Beliau turut menyatakan keengganan untuk pindah ke PPS dalam masa terdekat atas faktor yang sama.
“Sepanjang musibah banjir saya tidak pernah tinggal di PPS, kita takut sebab waktu banjir ramai orang ambil kesempatan…saya tinggal sahaja di sini untuk pantau,” katanya.
Pada masa sama, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Batu Tiga, Danial Al Rashid Haron Aminar Rashid berharap penduduk berpindah ke PPS.
“Kalau boleh daftar PPS sama ada nak pergi atau tidak agar, kita tahu jumlah mangsa yang terkesan agar pihak berwajib dapat memberi bantuan sewajarnya dan mencukupi,” katanya.
Menurut Danial, terdapat 290 orang daripada 60 keluarga sudah mendaftar dan tinggal di PPS Sekolah Kebangsaan Seksyen 16 di sini.
Hujan lebat sejak jam 8 malam Ahad mengakibatkan beberapa kawasan di sekitar Shah Alam ditenggelami air.
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami


