Skip to main content

Malaysia

[TERKINI] Nahas helikopter Ulu Baram: Operasi bawa keluar mangsa sedang giat dijalankan - Menteri

Dr Dzulkefly (tengah) bercakap pada sidang media khas di Kuala Lumpur, pada Rabu.
Dr Dzulkefly (tengah) bercakap pada sidang media khas di Kuala Lumpur, pada Rabu.

Advertisement

KUALA LUMPUR: Operasi membawa keluar lima mangsa yang terlibat dalam nahas helikopter terhempas berhampiran Lapangan Terbang Landasan Pendek (STOLport) Long Lellang, Ulu Baram, Sarawak pada Selasa, sedang giat dijalankan.

Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad berkata, operasi berkenaan diteruskan oleh pasukan penyelamat di lapangan termasuk Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM).

“Pihak Hospital Miri telah bersedia sepenuhnya di semua peringkat untuk menerima mangsa sebaik sahaja mereka dibawa keluar dari lokasi kejadian.

"Kita serahkan kepada pihak berkuasa yang berkenaan untuk melengkapkan proses pengecaman identiti secara rasmi apabila jenazah tiba di hospital kelak.

"Sebarang pengesahan lanjut hanya akan diumumkan selepas mendapat clearance daripada pihak berkuasa,” kata beliau dalam sidang media khas berhubung insiden helikopter terhempas, di sini, hari ini.

Turut hadir Ketua Pengarah Kesihatan Kementerian Kesihatan (KKM), Datuk Seri Dr Mahathar Abd. Wahab.

Pada Selasa, Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia (CAAM) dalam kenyataan memaklumkan, sebuah helikopter BO-105 yang membawa lima individu termasuk juruterbang terhempas berhampiran Lapangan Terbang Landasan Pendek Long Lellang, Ulu Baram, kira-kira 929 kilometer dari Kuching, Sarawak.

Menurut CAAM, helikopter berkenaan sedang menjalankan operasi Perkhidmatan Doktor Udara (FDS) ketika kejadian.

Sementara itu, Dr Dzulkefly dilapor berkata, helikopter yang berlepas dari Miri itu dikendalikan seorang juruterbang dan membawa seorang pegawai perubatan, seorang penolong pegawai perubatan (PPP) serta dua jururawat yang sedang menjalankan tugas rasmi.

Media melaporkan lima mangsa dikenal pasti sebagai Kapten Zainol Afriq; pegawai perubatan, Dr Ainul Baroah Kamaruddin; penolong pegawai perubatan, Alexson Adit; serta dua jururawat iaitu Debra Moset serta Jessie Paya.

Biro Siasatan Kemalangan Udara (AAIB) di bawah Kementerian Pengangkutan akan menyiasat kejadian itu di bawah Bahagian XXVI Peraturan-Peraturan Penerbangan Awam 2016.

Mengulas lanjut, Dr Dzulkefly berkata KKM akan terus bersikap telus dengan menyalurkan maklumat terkini dan kenyataan rasmi dari semasa ke semasa, sebaik sahaja memperoleh maklumat yang telah disahkan oleh pihak berkuasa.

"Saya memohon seluruh rakyat Malaysia supaya kita menitipkan doa agar urusan operasi mencari dan menyelamat (SAR) yang diteruskan hari ini dipermudahkan oleh Allah SWT," ujarnya.

Dalam pada itu, Dr Mahathar memaklumkan Incident Commander iaitu Pesuruhjaya Polis Sarawak bertanggungjawab menyelaras perkembangan operasi di lapangan.

"Semua maklum sekarang ini usaha sedang giat dijalankan. Dari semasa ke semasa kita akan dapat input daripada pihak berkuasa sebagaimana diterangkan tadi.

"Operasi telah bermula pagi ini, tetapi semua maklum kawasan tersebut amat di pedalaman. Untuk mencapai lokasi tersebut, kena pastikan dari aspek search and rescue dapat hadir ke tempat tersebut," jelasnya.

Must Watch Video

Advertisement