JOHOR BAHRU: Kerajaan Negeri Johor menggesa siasatan menyeluruh dilakukan terhadap operasi Network School di Forest City, Gelang Patah, di sini, susulan dakwaan terdapat warga Israel yang menyertai program berkenaan menggunakan pasport negara kedua.
Menteri Besar Datuk Onn Hafiz Ghazi berkata, kerajaan negeri memandang serius perkara itu dan tidak akan membenarkan mana-mana pihak menjadikan Johor sebagai tapak untuk membawa ideologi atau gerakan yang bercanggah dengan undang-undang, kedaulatan serta kepentingan negeri dan negara.
Beliau juga meminta Kementerian Dalam Negeri (KDN), Jabatan Imigresen Malaysia, Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) serta agensi keselamatan berkaitan menjalankan semakan dan siasatan menyeluruh.
"Kerajaan negeri meminta agensi berkaitan menjalankan semakan serta siasatan menyeluruh, terhadap identiti dan kewarganegaraan individu terlibat, dokumen perjalanan dan penggunaan pasport kedua, jenis pas serta tujuan kemasukan ke Malaysia dan keselarasan antara tujuan kemasukan dengan aktiviti sebenar yang dijalankan.
"Kementerian Pendidikan Tinggi, Kementerian Digital dan agensi kawal selia berkaitan turut telah diminta menentukan status sebenar operasi Network School, serta sama ada program yang dijalankan memerlukan pendaftaran atau kelulusan di bawah undang-undang negara," katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Di peringkat negeri pula, Onn Hafiz berkata, Majlis Bandaraya Iskandar Puteri (MBIP), Pejabat Tanah dan Galian (PTG) Johor serta agensi berkaitan akan menyemak semua aspek pematuhan di bawah bidang kuasa masing-masing.
Katanya, semakan itu merangkumi syarat lesen premis, penggunaan bangunan, syarat nyata dan syarat khas tanah, penginapan, aktiviti perniagaan serta pematuhan terhadap keperluan perundangan dan peraturan yang sedang berkuat kuasa.
"Sekiranya siasatan mendapati wujud pelanggaran undang-undang, penyalahgunaan pas, pelanggaran syarat lesen atau syarat tanah, atau sebarang unsur yang boleh menjejaskan kepentingan negeri serta keselamatan negara, kerajaan negeri menggesa agar tindakan tegas diambil oleh pihak berkuasa tanpa sebarang kompromi.
"Kerajaan negeri akan terus bertindak secara bertanggungjawab serta berlandaskan undang-undang demi melindungi kepentingan negeri dan mempertahankan kedaulatan negara," katanya.
Terdahulu, tular di media sosial mengenai kewujudan Network School di Forest City yang didakwa dikaitkan dengan agenda Israel yang secara diam mahu menduduki negara ini menerusi cara yang dikaitkan dengan pelaburan mata wang.