KUALA LUMPUR: Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Hannah Yeoh meninggalkan Istana Negara selepas menghadiri mesyuarat Lembaga Pengampunan Wilayah Persekutuan, pagi ini.
Ketika ditanya mengenai hasil mesyuarat, Hannah hanya meminta pihak media menunggu kenyataan rasmi.
Hannah turut memberikan jawapan sama ketika ditanya sekiranya agenda membabitkan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak dibincangkan dalam mesyuarat berkenaan.
“Tunggu kenyataan rasmi, nanti akan ada kenyataan rasmi,” katanya selepas meninggalkan Istana Negara jam 11 pagi hari ini.
Nama bekas Ahli Parlimen Pekan itu menjadi antara perkara yang mendapat perhatian susulan Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi pada Khamis meletakkan harapan positif berhubung nasib Najib.
Jelas Zahid, beliau menyerahkan sepenuhnya keputusan berkait Najib kepada kebijaksanaan Yang di-Pertuan Agong menjelang Mesyuarat Lembaga Pengampunan hari ini.
Bagaimanapun, setakat ini tiada pengesahan rasmi bahawa perkara berkenaan dibincangkan dalam mesyuarat tersebut.
Perkembangan lanjut dijangka diketahui menerusi kenyataan rasmi Urus Setia Lembaga Pengampunan.
Lembaga Pengampunan Wilayah Persekutuan dipengerusikan Yang di-Pertuan Agong dan turut dianggotai Peguam Negara, Menteri yang bertanggungjawab terhadap Wilayah Persekutuan serta tiga anggota lain yang dilantik oleh Agong.