KUALA LUMPUR: Lembaga Hasil Dalam Negeri Malaysia (LHDN) hari ini menyerbu tiga premis yang dikaitkan dengan bekas kepimpinan tertinggi Lembaga Tabung Haji (TH), susulan pendedahan dalam Laporan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) berhubung institusi itu.
Sumber yang rapat dengan kerajaan memaklumkan kepada Astro AWANI bahawa serbuan itu membabitkan sebuah premis yang dikaitkan dengan bekas Pengerusi TH di Jalan Kampung Attap, di sini.
Dua lagi premis yang diserbu dikaitkan dengan bekas Pengarah Urusan TH di Sri Hartamas serta bekas pengurus besar TH di Putra Heights, Subang Jaya.
Menurut sumber sama, tindakan siasatan itu diambil terhadap beberapa individu yang dikenal pasti menerusi Laporan RCI TH, termasuk bekas Pengerusi, bekas Pengarah Urusan serta beberapa anggota pengurusan kanan yang pernah berkhidmat dalam institusi berkenaan.
“Perkembangan lanjut berhubung siasatan berkenaan dijangka diumumkan dalam masa terdekat,” memetik sumber kepada Astro AWANI.
Terdahulu, LHDN dalam satu kenyataan mengesahkan telah memulakan siasatan terhadap individu yang dikenal pasti berdasarkan Laporan RCI berkaitan TH.
Menurut agensi itu, siasatan dijalankan berdasarkan analisis risiko percukaian yang mengesan ketidaksepadanan antara pemilikan aset dengan jumlah pendapatan yang dilaporkan individu terbabit.
LHDN turut memaklumkan serbuan telah dijalankan ke beberapa premis bagi mendapatkan maklumat, membuat semakan dokumen serta mengesahkan fakta berkaitan siasatan, sambil menegaskan semua tindakan semakan dan siasatan dilaksanakan secara profesional, berintegriti serta berlandaskan peruntukan undang-undang percukaian yang berkuat kuasa tanpa sebarang prejudis terhadap mana-mana pihak.
Agensi itu berkata, sebarang tindakan lanjut hanya akan diputuskan berdasarkan hasil siasatan, penelitian maklumat serta bukti yang diperoleh sepanjang proses semakan dilaksanakan.
Laporan RCI TH yang diterbitkan pada 29 Julai lalu mengandungi penemuan berhubung pengurusan dan operasi institusi itu bagi tempoh 2014 hingga 2020.