[TERKINI]: Ribut tropika Senyar dijangka berlarutan sehingga Sabtu
![[TERKINI]: Ribut tropika Senyar dijangka berlarutan sehingga Sabtu [TERKINI]: Ribut tropika Senyar dijangka berlarutan sehingga Sabtu](https://resizer-vortals.eco.astro.com.my/tr:w-auto,h-auto,q-80,f-webp/https://img.astroawani.com/2025-11/51764242992_METMalaysia.jpg)
Beliau menasihati orang awam supaya bersiap sedia menghadapi hujan lebat berterusan, risiko pokok tumbang dan tanah runtuh. - Foto Astro AWANI
Petaling Jaya: Ribut Tropika Senyar yang dikesan di perairan Selat Melaka telah memasuki perairan Malaysia sejak 3.30 petang Khamis dijangka akan berterusan sehingga pagi Sabtu.
Ketua Pengarah Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia), Mohd Hisham Mohd Anip berkata, orang ramai dinasihatkan agar bersiap siaga dengan faktor hujan lebat luar biasa berterusan susulan kesan ribut tropika Senyar yang dijangka melanda tengah malam ini.
Jelasnya, julat taburan hujan dijangka meningkat pada tengah malam ini dengan kelajuan angin antara 9 hingga 50 kilometer sejam yang bergerak ke arah perairan Laut China Selatan bahagian Timur.
Berdasarkan pemantauan sistem cuaca WRF-GSF MetMalaysia, ribut berkenaan dijangka membuat pendaratan di kawasan antara sempadan Selangor dan Perak.
Semenanjung Malaysia. jelasnya juga dijangka menerima taburan hujan antara 200 hingga 300 milimeter dalam tempoh 24 jam akan datang sehingga Sabtu ini, sekali gus meningkatkan kelembapan negara secara signifikan.
“Kawasan yang dijangka terkesan adalah antara sempadan Perak dan Selangor. Ramalan pendaratan berlaku lebih kurang tengah malam, dan kita lebih risaukan hujan lebat di luar mata ribut, terutamanya di kawasan tenggara.
"Difahamkan sistem ribut itu sedang bergerak ke arah timur pada kelajuan kira-kira 9 kilometer sejam, dengan pusat ribut kini berada pada kedudukan latitud 3.6° Utara dan longitud 100.4° Timur di perairan Selat Melaka," katanya dalam sidang media tergempar di Petaling Jaya, Selangor pada Khamis.
Mohd Hisham berkata, fenomena ribut tropika Senyar merupakan kali pertama berlaku di negara ini.
"Sebelum ini, Malaysia pernah mengalami ribut tropika secara langsung sebanyak dua kali iaitu Ribut Tropika Greg di barat Sabah pada 26 Disember 1996 dan Ribut Tropika Vamei di selatan Semenanjung pada 26 Disember 2001," katanya.
Beliau turut menasihati orang awam supaya bersiap sedia menghadapi hujan lebat berterusan serta risiko pokok tumbang dan tanah runtuh.
"Perkara ini berlaku berikutan pembentukan taufan kuat di China yang mempengaruhi cuaca di seluruh rantau.
"Oleh yang demikian, kami meminta orang ramai sentiasa bersiap sedia menghadapi episod hujan lebat luar biasa.
"Hujan kini sedang berlaku di perairan Selat Melaka dan akan memasuki negara melalui Laut China Selatan, dijangka melanda pantai timur esok malam (Jumaat)," ujarnya.
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami


