Skip to main content

Malaysia

[TERKINI] Tahanan rumah: Ketua Polis Sentul, pegawai Jabatan Penjara adakan mesyuarat di kediaman Najib

Rumah Najib Razak -- nasruddin samad
Mesyuarat itu dipercayai membabitkan perincian aspek keselamatan dan penilaian kediaman berkenaan susulan cadangan pelaksanaan tahanan rumah terhadap bekas Perdana Menteri itu. - Foto Nasruddin Samad
Advertisement

KUALA LUMPUR: Ketua Polis Daerah Sentul, Asisten Komisioner Anuar Bakri Abdul Salam dan pegawai Jabatan Penjara Malaysia mengadakan mesyuarat di kediaman Datuk Seri Najib Razak di Langgak Duta, di sini, pada Isnin.

Mesyuarat itu dipercayai membabitkan perincian aspek keselamatan dan penilaian kediaman berkenaan susulan cadangan pelaksanaan tahanan rumah terhadap bekas Perdana Menteri itu.

Bagaimanapun, identiti pegawai Jabatan Penjara Malaysia yang hadir pada mesyuarat berkenaan masih belum dapat dipastikan.

Empat kenderaan dilihat memasuki kediaman berkenaan, manakala Anuar Bakri dilihat tiba menaiki kenderaan kira-kira jam 2.20 petang.

Setakat ini, mesyuarat berkenaan masih berlangsung.

Bagaimanapun, tujuan rasmi mesyuarat dan perkara yang dibincangkan masih belum diperincikan pihak berkuasa.

Pada Jumaat, Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim berkenan mengurniakan pengampunan bersyarat kepada Najib untuk menjalani baki hukumannya di bawah tahanan rumah hingga 23 Ogos 2028, tertakluk kepada pembayaran denda RM50 juta.

Najib, 73, sedang menjalani hukuman penjara di Penjara Kajang sejak 23 Ogos 2022.

Sabitan yang sedang dijalani beliau membabitkan penyelewengan dana SRC International Sdn Bhd, manakala kes berkaitan 1Malaysia Development Berhad (1MDB) masih dalam proses perbicaraan dan rayuan.

Must Watch Video

Advertisement