Skip to main content

Malaysia

Tahanan rumah Najib: ‘Tiada pagar besi, itu semua khabar angin’ - Polis

TB_ANUAR BAKRI ABDUL SALAM_NASRUDDIN SAMAD
Anuar Bakri berkata, kawalan akan dilaksanakan seperti biasa dengan pihak Jabatan Penjara Malaysia bertanggungjawab terhadap aspek keselamatan di bahagian dalam, manakala polis mengawal bahagian luar kediaman. - Gambar/ Astro AWANI
Advertisement

KUALA LUMPUR: Tiada pemasangan pagar besi atau kawalan keselamatan luar biasa akan dilaksanakan di kediaman Datuk Seri Najib Razak di Langgak Duta, di sini, sekiranya premis itu disahkan sebagai tempatnya menjalani tahanan rumah.

Ketua Polis Daerah Sentul, Asisten Komisioner Anuar Bakri Abdul Salam, berkata kawalan akan dilaksanakan seperti biasa dengan pihak Jabatan Penjara Malaysia bertanggungjawab terhadap aspek keselamatan di bahagian dalam, manakala polis mengawal bahagian luar kediaman.

Beliau berkata, perkara itu antara yang dibincangkan dalam mesyuarat bersama pegawai Jabatan Penjara Malaysia bagi menilai kesesuaian kediaman berkenaan.

“Tak ada, tak ada kawalan yang begitu ketat. Pihak penjara akan bertanggungjawab di bahagian dalam. Pihak polis akan bertanggungjawab di bahagian luar.

“(Akan ada dipasang pagar besi?) Tak... itu semua khabar angin,” katanya ketika ditemui pemberita selepas selesai mesyuarat di kediaman berkenaan, pada Isnin.

BACA: Najib kekal di Penjara Kajang hingga denda RM50 juta dibayar - Peguam

BACA: Rosmah terharu terima sumbangan, doa untuk Najib

Dalam pada itu, Anuar Bakri berkata, keputusan muktamad berhubung pelaksanaan tahanan rumah masih belum diputuskan pihak berkuasa tertinggi.

Katanya, keputusan berkenaan akan dimaklumkan kepada pihak berkaitan sebaik sahaja arahan rasmi diterima dan semua syarat ditetapkan dipenuhi.

“Keputusan belum dimuktamadkan lagi. Keputusan pihak tertinggi akan diberikan dan dimaklumkan  pada bila-bila masa,” katanya.

Mengulas mesyuarat berkenaan, beliau berkata, pertemuan itu membabitkan urusan penilaian kediaman sebagai lokasi tahanan rumah, dengan pihak polis diminta hadir bersama bagi meneliti aspek keselamatan.

Katanya, tanggungjawab berkaitan aspek tahanan pula akan dikendalikan pihak Jabatan Penjara Malaysia.

“Pihak penjara minta pihak polis hadir bersama untuk tengok dari segi aspek kita, pihak polis, aspek keselamatan. Dari segi aspek tahanan, pihak penjara yang betul-betul menjawab,” katanya.

Beliau berkata, pihak polis bersedia melaksanakan kawalan keselamatan pada bila-bila masa bagi memastikan keselamatan di bahagian luar dan dalam kediaman berkenaan, tertakluk kepada arahan rasmi.

Mesyuarat berkenaan berlangsung selama kira-kira dua jam sebelum berakhir pada kita-kira 4.20 petang. 

Must Watch Video

Advertisement