PUTRAJAYA: Malaysia mengecam sekeras-kerasnya pencerobohan berulang rejim Zionis di pekarangan Masjid Al-Aqsa sebagai provokasi melampau yang mencabul kesucian Al-Haram Al-Sharif.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Zulkifli Hasan berkata Masjid Al-Aqsa sebagai kiblat pertama dan tanah suci ketiga umat Islam wajib dipertahankan.
“Sejarah membuktikan pencerobohan biadab ke atas Al-Aqsa sentiasa menjadi pencetus gelombang kebangkitan ummah.
“Rejim Zionis tidak boleh dibiarkan menormalisasikan tindakan ekstremis ini yang berisiko menolak dunia ke kancah konflik global yang lebih rumit,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Sehubungan dengan itu, Zulkifli mendesak komuniti antarabangsa mengambil tindakan tegas serta-merta ke atas rejim Zionis dan bukan sekadar mengeluarkan retorik kecaman.
Beliau turut menyeru seluruh umat Islam di negara ini supaya terus menyatukan saf solidariti dan memanjatkan doa Qunut Nazilah agar Allah SWT memelihara kesucian Masjid Al-Aqsa serta membebaskan bumi Palestin daripada cengkaman kezaliman.
Sebelum ini, kira-kira 100 pendatang Israel dilaporkan menceroboh kompleks Masjid al-Aqsa pada Ahad di bawah kawalan ketat pasukan keselamatan Israel menjelang sambutan Yom Kippur.
-- BERNAMA