KUALA LUMPUR: Keputusan Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke Siew Fook menawarkan diri untuk melepaskan jawatan sebagai Menteri Pengangkutan merupakan keputusan muktamad yang dicapai oleh Jawatankuasa Tertinggi Pusat (CEC) parti itu.
Pemimpin kanan DAP yang juga Timbalan Setiausaha Agung parti, Hannah Yeoh menegaskan bahawa keputusan tersebut dibuat selepas CEC mengadakan mesyuarat panjang serta mengambil kira pelbagai pandangan dan cadangan dalaman.
Sehubungan itu, beliau mengingatkan semua pihak agar menghormati keputusan yang telah diputuskan oleh badan pembuat keputusan tertinggi parti berkenaan.
"CEC telah bermesyuarat lama dan pelbagai cadangan serta pendapat telah kita dengar. Keputusan akhir iaitu keputusan muktamad CEC... ini adalah badan pembuat keputusan tertinggi (highest decision making body) yang telah membuat keputusan bahawa YB Anthony Loke menawarkan diri untuk meletak jawatan.
"Dan itu adalah keputusan CEC. Perbincangan lain saya tidak mahu dedahkan kerana ia adalah hal dalaman mesyuarat CEC, tetapi kita kena hormati keputusan yang telah dibuat," katanya ringkas.
Beliau berkata demikian ketika ditemui media selepas mengadakan sidang media khas di Menara Seri Wilayah, Putrajaya pada Isnin.
Hannah enggan mengulas lanjut mengenai spekulasi atau kenyataan berbeza yang timbul susulan keputusan berkenaan, sebaliknya menegaskan sebarang pertanyaan lanjut wajar diajukan terus kepada individu yang mengeluarkan kenyataan terbabit.
Terdahulu, Loke mengumumkan kesediaannya untuk melepaskan jawatan dalam Kabinet sebagai reaksi prinsip kepimpinan parti, manakala menteri serta timbalan menteri DAP yang lain kekal berkhidmat dalam pentadbiran Kerajaan Perpaduan.