MALAYSIA
[TERKINI] Tarif Trump: Malaysia kena 25 peratus, negara lain hingga 40 peratus
![[TERKINI] Tarif Trump: Malaysia kena 25 peratus, negara lain hingga 40 peratus [TERKINI] Tarif Trump: Malaysia kena 25 peratus, negara lain hingga 40 peratus](https://resizer-vortals.eco.astro.com.my/tr:w-auto,h-auto,q-80,f-webp/https://img.astroawani.com/2025-06/51749706345_PresidentDonaldTrump.jpg)
Malaysia tersenarai antara negara yang akan dikenakan tarif import sebanyak 25 peratus oleh Amerika Syarikat, susulan pengumuman terbaharu Presiden Donald Trump.
WASHINGTON : Malaysia kini tersenarai antara negara yang akan dikenakan tarif import sebanyak 25 peratus oleh Amerika Syarikat (AS) susulan pengumuman terbaharu Presiden Donald Trump sekali gus menandakan permulaan fasa baharu dalam siri tindakan perdagangan terhadap beberapa negara rakan dagang utama Washington.
Dalam kenyataan rasmi yang dimuat naik ke platform Truth Social, Trump mengumumkan, kadar tarif baharu itu akan berkuat kuasa mulai 1 Ogos, melibatkan barangan dari Malaysia, Jepun, Korea Selatan dan Kazakhstan dengan kadar berbeza dikenakan ke atas negara lain.
Malaysia dikenakan kadar tetap 25 peratus, sama seperti Jepun dan Korea Selatan, manakala Kazakhstan turut menerima kadar sama.
Afrika Selatan pula dikenakan tarif sebanyak 30 peratus, sementara Laos dan Myanmar mencatat kadar tertinggi sebanyak 40 peratus.Trump turut memberi amaran jika mana-mana negara bertindak balas dengan menaikkan tarif terhadap produk dari Amerika Syarikat, kadar tambahan akan dikenakan di atas tarif sedia ada - melebihi paras 25 peratus yang ditetapkan ketika ini.
“Jika mereka mengenakan tarif tambahan ke atas produk Amerika, kami akan naikkan tarif kami lebih tinggi. Kami tidak akan berdiam diri,” kata Trump.
Sebelum ini, Trump telah menetapkan had maksimum tarif sebanyak 10 peratus sehingga 9 Julai bagi memberi ruang kepada rundingan perdagangan.
Namun dalam pengumuman terbaharu ini, tarikh akhir rundingan telah dilanjutkan kepada 1 Ogos, menerusi perintah eksekutif yang bakal ditandatangani beliau.
Setakat ini hanya Britain dan Vietnam berjaya mencapai perjanjian awal dengan Washington, sekali gus mengelak dikenakan tarif baharu.
Sementara itu, kadar tarif ke atas Korea Selatan kekal seperti pengumuman awal pada 2 April, manakala kadar untuk Jepun dinaikkan satu mata peratusan berbanding kenyataan terdahulu.
Tindakan ini dijangka memberi kesan langsung kepada eksport Malaysia ke Amerika Syarikat, khususnya dalam sektor elektronik, produk getah dan komponen automotif yang merupakan antara penyumbang utama perdagangan dua hala. - Agensi
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami