KUALA LUMPUR: Mahkamah Sesyen di sini hari ini diberitahu bahawa syarikat Consortium Zenith BUCG Sdn Bhd (CZBUCG) mempunyai pengetahuan secara langsung dalam penyediaan draf dokumen permintaan untuk cadangan (RFP) bagi projek pembinaan jalan utama dan terowong di Pulau Pinang.

Bekas Setiausaha Kerajaan Negeri Pulau Pinang Datuk Seri Farizan Darus, 62, berkata disebabkan mempunyai pengetahuan berhubung penyediaan draf, syarikat itu juga telah diarah untuk mengambil beberapa langkah antaranya meminda dokumen RFP dan mengembalikannya dalam tempoh seminggu kepada Unit Perancang Ekonomi Negeri (UPEN).

"Pada pendapat saya, berdasarkan catatan minit mesyuarat penyediaan RFP pada 11 Julai 2011, syarikat ini telah terlibat secara langsung dalam penyediaan dokumen RFP sedangkan dasar kerajaan negeri adalah perolehan diberikan secara tender terbuka seiring dengan (prinsip) CAT (Kompetensi, Akauntabiliti dan Ketelusan)," katanya.

Saksi pendakwaan kesembilan itu berkata demikian ketika pemeriksaan utama oleh Timbalan Pendakwa Raya Farah Yasmin Salleh pada perbicaraan kes rasuah bekas Ketua Menteri Pulau Pinang Lim Guan Eng yang berdepan empat pertuduhan membabitkan pembinaan terowong dasar laut dan projek pembinaan jalan utama di negeri itu bernilai RM6.3 bilion.

Farizan, yang kini Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Penang Infrastructure Corporation Sdn Bhd, berkata pihak luar boleh terlibat dalam penyediaan RFP dengan syarat tidak terbabit dalam perolehan tender supaya berlaku adil terhadap pembida yang berkelayakan.

Beliau berkata dalam bidaan itu, syarikat CZBUCG telah memenangi tender tersebut sepertimana diputuskan oleh Lembaga Perolehan Negeri Pulau Pinang.

"Perbandingan dibuat antara lima syarikat yang mengambil RFP dan berdasarkan penilaian yang telah dibuat, CZBUCG memperoleh 93 peratus keseluruhan berbanding syarikat lain," katanya sambil menambah syarikat lain yang terlibat ialah IJM-Crgl Joint Venture, WCT Berhad, ECK Construction Sdn Bhd dan VST Cemerlang Sdn Bhd.

Farizan berkata dokumen RFP berstatus rahsia dan kandungannya tidak boleh dikeluarkan oleh mana-mana pihak.

Lim didakwa menggunakan kedudukan sebagai Ketua Menteri Pulau Pinang untuk menerima rasuah RM3.3 juta sebagai tindakan membantu syarikat milik Zarul Ahmad mendapatkan projek pembinaan bernilai RM6,341,383,702.

Beliau didakwa melakukan perbuatan itu di Pejabat Ketua Menteri Pulau Pinang, Tingkat 28, Komtar, George Town antara Januari 2011 dan Ogos 2017.

Mengikut pertuduhan pindaan kedua, Lim didakwa meminta suapan daripada Zarul Ahmad sebanyak 10 peratus daripada keuntungan yang akan diperoleh syarikat itu sebagai penghargaan mendapatkan projek tersebut.

Kesalahan itu didakwa dilakukan berhampiran The Garden Hotels, Lingkaran Syed Putra, Mid Valley City, Kuala Lumpur pada Mac 2011.

Lim, yang juga Setiausaha Agung DAP, turut berdepan dua pertuduhan menyebabkan dua plot tanah bernilai RM208.8 juta milik Kerajaan Negeri Pulau Pinang dilupuskan kepada dua syarikat yang didakwa mempunyai kaitan dengan projek terowong dasar laut itu.

Beliau didakwa melakukan perbuatan itu di Pejabat Tanah dan Galian Pulau Pinang, Tingkat 21, Komtar pada 17 Feb 2015 dan 22 Mac 2017.

Perbicaraan di hadapan Hakim Azura Alwi bersambung esok.

-- BERNAMA