KULIM: Rakyat Malaysia dinasihatkan supaya tidak mudah terpengaruh dengan iklan kerja kosong melalui platform media sosial yang menawarkan gaji lumayan yang menjadi antara punca mereka 'terperangkap' di luar negara.

Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, beliau  tidak mahu perkara yang berlaku kepada Chong Sum Yee, 22, warga Malaysia yang hilang di Chiang Mai, Thailand berulang.

Katanya insiden itu mencetuskan kegusaran sehingga memaksa ibu bapa mangsa membuat laporan polis meminta bantuan mangsa diselamatkan.

"Apabila mereka telah sampai ke sana (ke negara berkenaan) didapati keadaan mereka lalui tidak sama seperti mereka diberitahu, jadi daripada situlah kemudiannya ada yang sempat menghubungi pihak polis.

"Saya minta ibu tersebut menghubungi pihak polis, daripada membuat kenyataan media dan media tanya menteri. Biar identiti anaknya, di mana dia pergi, dengan siapa, itu penting maklumat disampaikan kepada pihak polis.

"Di Bukit Aman kita ada bahagian khas kita panggil Atipsom (Bahagian Antipemerdagangan Orang dan Penyeludupan Migran) yang khusus untuk menguruskan kes-kes orang hilang macam ini," katanya.

Beliau berkata demikian ketika melawat pembinaan jambatan di Kampung Sungai Ular di Kulim pada Ahad.

Ibu yakin anak jadi mangsa pemerdagangan manusia


Saifuddin Nasution berkata pihaknya menyerahkan kepada polis untuk menyiasat tentang kes kehilangan wanita itu dan setakat ini beliau belum menerima maklumat perkembangan semasa mengenai kes itu.

Semalam Astro AWANI melaporkan ibu kepada Chong Sum Yee, tidak mempercayai video anaknya itu mendakwa dirinya selamat dan sihat.

Terdahulu, beliau yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Negeri Kedah melawat tapak projek menggantikan jambatan di kawasan Kampung Sungai Ular.

Saifuddin Nasution berkata projek menggantikan jambatan itu menelan belanja sebanyak RM9.3 juta dan dijangkakan siap pada Oktober 2024.

Beliau berkata projek itu dapat mengurangkan kesesakan lalu lintas di sekitar kawasan Sungai Ular sekali gus menambah baik aliran trafik.