KUALA LUMPUR: Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin menyeru agar semua pihak terus istiqamah berjuang melawan pandemik COVID-19 dalam memastikan negara mampu keluar daripada kemelut yang melanda serta menjalani kehidupan normal seperti sedia kala.

Berucap pada 'Program Mega PKRC Berselawat Perdana Menteri dan Rakyat Malaysia' pada Jumaat beliau yakin dengan kekuatan yang ada serta yakin rakyat Malaysia mampu melakukanya.

“Pasti ini akan memberi kita suatu kekuatan baharu, semangat baharu, keimanan yang lebih teguh, kepercayaan yang lebih kukuh kepada kuasa Allah SWT. Dan dengan usaha dan doa yang telah kita sampaikan tadi maka kita mengharapkan insyAllah dalam suatu tempoh yang tidak berapa lama lagi kita akan terkeluar dari pandemik COVID-19 ini.

"Berkat usaha yang sekarang ini telahpun terus dilaksanakan oleh kerajaan dan didokong oleh ribuan  petugas barisan hadapan bersama pembantu daripada badan sukarelawan,” katanya.

Beliau juga menzahirkan rasa kagum atas semangat yang ditunjukkan oleh semua lapisan masyarakat yang sentiasa berganding bahu bersama-sama kerajaan dalam mengekang wabak penularan COVID-19.

“Saya mahu mengambil kesempatan di sini kerana usaha-usaha yang telahpun kita sama-sama lakukan telah membolehkan kita meneruskan usaha kita ini kerana sistem kesihatan kita iaitu kesihatan awam kita masih kekal tegak berdiri dan belum runtuh lagi.

“Saya mahu menyatakan rasa bangga saya sebagai Perdana Menteri melihat betapa cekal dan kukuh serta begitu tinggi semangat saudara saudari sekalian. Inilah yang kita harapkan untuk tempoh-tempoh yang mendatang. Bersedialah kita untuk terus berjuang saling membantu tolong-menolong memberikan apa sahaja yang boleh kita buat untuk membela nasib rakyat kita yang terkesan dengan pandemik COVID-19 ini,” katanya.

Tambah beliau dengan Pelan Pemulihan Negara yang telah digarapkan tidak mustahil impian untuk kembali menikmati kehidupan normal akan dicapai sedikit masa lagi.