KUCHING: Usaha untuk meneroka ilmu dan teknologi baru tidak harus terputus dari kaitannya dengan khazanah ilmu kemanusiaan yang diperoleh di peringkat awal kehidupan, kata Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Beliau berkata ilmu asas yang menekankan kepada nilai dan akhlak perlu diberikan keutamaan yang sama pentingnya dalam membangunkan negara.

"Satu aspek yang sangat penting dalam negara Madani ialah negeri-negerinya harus makmur... berkembang maju, tetapi mesti berakar kepada keyakinan. Mesti meletak soal nilai dan akhlak sebagai paksinya," kata beliau.

Berucap semasa merasmikan Seminar Antarabangsa Imam As-Syafi'i di sini hari ini, Anwar berkata kelemahan besar dunia barat dari sudut pemikiran dan falsafah adalah kegagalan mereka mengaitkan ilmu baru yang diperoleh dengan khazanah ilmu yang diwarisi mereka sebelum itu.

"Oleh kerana terputus, maka muncul ilmu dan teknologi baru yang penting tetapi hilang nilai, ehsan, rahmah dan kemanusiaannya," kata beliau.

Mengambil contoh amalan di Sarawak, Anwar berkata rakyat negeri itu sudah lama mewarisi prinsip "li ta' arafu", satu konsep dalam Islam yang menekankan toleransi dan hormat menghormati antara kaum yang berbeza.

"Li ta'arafu itu bukan sahaja toleransi tetapi arif, tahu, kita kenal, kita hormat perbezaan, kepelbagaian dan ini juga menjadi tonggak di Sarawak yang kita harapkan akan dipupuk dalam negara MADANI," kata beliau.

Seminar yang bertemakan 'Kelestarian Fiqh As-Syafi'i Dalam Memacu Kemakmuran Ummah' menghimpunkan kira-kira 1,300 peserta daripada Malaysia, Brunei, Indonesia, Jordan dan Yaman.

Ia dianjurkan Jabatan Mufti Sarawak dengan kerjasama Akademi Pengajian Islam Universiti Malaya sebagai antara acara sempena Sambutan 60 tahun Kemerdekaan Sarawak menerusi penubuhan Malaysia.

Turut hadir Premier Sarawak Tan Sri Abang Johari Tun Openg, Timbalan Premier Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan dan beberapa menteri dan timbalan menteri negeri.

-- BERNAMA