Penekanan terhadap Program Transformasi Vokasional dan Teknik (TEVT) dalam Bajet 2015 adalah isyarat awal bahawa bidang latihan kemahiran akan menjadi pendidikan arus perdana di negara ini.

Menteri Pendidikan Kedua Datuk Seri Idris Jusoh berkata sudah tiba masanya untuk memberi tumpuan terhadap pembangunan latihan kemahiran kepada generasi muda setaraf dengan tumpuan terhadap akademik.

"Ini satu peralihan di mana pendidikan vokasional akan diarusperdanakan, kita akan lihat kolej vokasional, sekolah vokasional, kolej komuniti, politeknik dan pusat latihan dinaik taraf dan diperbesarkan dan diberi penekanan," katanya kepada pemberita selepas merasmikan majlis graduasi pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan Lembah Bidong di sini hari ini.

Semalam, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak semasa membentangkan Bajet 2015 mengumumkan daripada RM56 bilion diperuntukkan kepada Kementerian Pendidikan, sebanyak RM1.2 bilion untuk program TEVT selain RM50 juta diperuntukkan kepada Mara bagi pelaksanaan program TEVT.

Sehubungan itu, Idris menyeru ibu bapa agar tidak lagi sekadar mengharapkan anak mereka cemerlang dalam akademik sahaja, sebaliknya turut memberi fokus terhadap bidang latihan kemahiran tinggi yang sangat diperlukan dalam industri tertentu ketika ini.

Berhubung rebat 10 peratus ditawarkan kerajaan untuk menggalakkan pembayaran balik pinjaman Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN), katanya berdasarkan pengalaman sebelum ini, jumlah peminjam yang menjelaskan pinjaman itu meningkat apabila kerajaan mengumumkan rebat.

Berhubung kemungkinan masih ada peminjam yang terus ingkar, Idris berkata kementerian akan membincangkan langkah yang perlu diambil kerana pemberian rebat dan tindakan undang-undang diambil sebelum ini adalah langkah berpatutan.

Rebat 10 peratus diberikan kepada peminjam yang membuat bayaran balik secara berterusan selama 12 bulan sehingga 31 Dis 2015 manakala mereka yang membuat penyelesaian secara sekali gus hingga 21 Mac 2015 pula diberikan diskaun 20 peratus.