MALAYSIA
TH keluarkan peringatan awal kepada bakal jemaah haji 2026

Ibadat haji yang merupakan rukun Islam kelima memerlukan persediaan rapi bagi memastikan kemampuan menunaikannya (istito'ah) dipenuhi. - Gambar hiasan/Bernama
KUALA LUMPUR: Bakal jemaah haji yang berada dalam giliran musim haji 1447H/2026M diingatkan supaya membuat persediaan awal, terutama dari segi pengemaskinian maklumat peribadi, kesihatan, kewangan, pengurusan diri, serta ilmu berkaitan fardhu ain dan ibadat haji.
Ringkasan AI
- Kemas kini maklumat & simpanan kewangan minimum RM15,000: Bakal jemaah disarankan lengkapkan simpanan melalui THiJARI serta semak dan kemas kini data peribadi untuk melancarkan urusan tawaran haji.
- Penekanan kesihatan dan persediaan fizikal: Pemeriksaan kesihatan dan latihan fizikal disaran bagi menghadapi cuaca serta persekitaran di Arab Saudi yang mencabar sepanjang tempoh haji.
- TH ungguli pengiktirafan antarabangsa: Tabung Haji terus diiktiraf secara global sebagai model pengurusan haji terbaik, termasuk anugerah Diamond Award dalam Majlis Anugerah Labaytum 2025.
"Peringatan mesra dari TH ini juga diharap dapat membantu bakal jemaah meningkatkan ketersediaan mereka untuk layak menjawab tawaran dan kemudian menunaikan ibadat haji dengan lancar bagi mendapatkan haji mabrur, insya-Allah," katanya dalam kenyataan hari ini.
Mustakim turut menegaskan dari aspek kesihatan, bakal jemaah perlu lulus pemeriksaan kesihatan dan membuat persediaan fizikal secukupnya kerana mereka akan berada di Arab Saudi dalam tempoh yang panjang serta melalui suasana berdebu dan cuaca panas.
Makluman giliran haji yang awal juga memberi lebih masa kepada bakal jemaah untuk menjaga kesihatan, termasuk melakukan senaman untuk meningkatkan daya tahan badan serta pemeriksaan kesihatan kendiri bagi mengurus penyakit sedia ada.
Dari segi kewangan, Mustakim menasihati bakal jemaah supaya menambah simpanan secara berkala untuk mencukupkan kos menunaikan haji yang dijangka meningkat setiap tahun.
"TH menyediakan kemudahan simpanan berkala melalui potongan gaji dan potongan akaun bank (direct debit) di platform THiJARI.
Bakal jemaah disarankan mencukupkan simpanan di TH sekurang-kurangnya RM15,000, iaitu jumlah bayaran haji bagi golongan B40 pada 2025, agar layak menerima tawaran haji dalam tahun giliran," katanya.
Beliau juga mengingatkan agar bakal jemaah menyemak dan mengemas kini rekod profil masing-masing supaya mudah dihubungi bagi sebarang urusan rasmi. Mereka juga digalakkan mengikuti saluran media sosial dan laman web rasmi TH untuk maklumat terkini serta menyertai kursus bimbingan haji yang akan bermula tidak lama lagi.
Sementara itu, Mustakim berkata sebagai institusi pengurusan haji negara, TH terus mengharumkan nama Malaysia di persada dunia dengan mengekalkan rekod konsisten sebagai model pengurusan haji yang inovatif sehingga mendapat pengiktirafan anugerah berprestij Diamond Award di Majlis Anugerah Labaytum 2025.
Sebelum ini, TH memenangi Anugerah Labaytum dua tahun berturut-turut, iaitu pada 2023 menerusi dua anugerah dalam Kategori Perkhidmatan Terbaik bagi Pejabat Hal Ehwal Haji serta Perkhidmatan dan Program Bimbingan Haji Terbaik, manakala pada 2024, TH menerima anugerah dalam Kategori Perkhidmatan Terbaik Pejabat Hal Ehwal Haji.
-- BERNAMA
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami