KUALA LUMPUR: Lembaga Tabung Haji (TH) melancarkan TH Khairat iaitu perlindungan takaful sebanyak RM12,000 kepada penerima manfaat sekiranya berlaku kematian atau hilang upaya menyeluruh dan kekal ke atas pendeposit TH dengan langganan tahunan serendah RM28 sahaja.

Menurut Menteri Di Jabatan Perdana Menteri Datuk Mohd Na'im Mokhtar, inisiatif itu merupakan salah satu komitmen dan langkah proaktif TH untuk meringankan beban kewangan pendeposit.

Selain itu, jelas beliau juga menggalakkan umat Islam untuk menabung dan membuat persediaan awal dari segi kewangan agar urusan waris sewaktu dan selepas kematian dapat diuruskan dengan baik.

Jelas beliau menerusi TH Khairat ini, kebajikan dan kesejahteraan para pendeposit akan terus terpelihara kerana bantuan kewangan pada masa sukar akan diberi apabila berlaku kematian kepada pendeposit

"Bila saja meninggal ketua keluarga, contohnya suami, ada isteri yang tak bekerja langsung... mereka ini putus harapan.

"Jadi dengan program ini kita ada jaminan, bila pendeposit meninggal dunia, waris akan mewarisi RM12,000 selain bantuan dari agensi kerajaan," katanya selepas majlis pelancaran TH Khairat pada Isnin.

Mohd Na'im menjelaskan usaha yang dilakukan TH ini seharusnya dijadikan contoh kepada organisasi lain dalam memberi perkhidmatan bermanfaat kepada pelanggan masing-masing.

Selain itu beliau menjelaskan usaha seperti yang dibuat oleh TH ini boleh ditawarkan kepada semua lapisan masyarakat apabila tiba masanya.