Lembaga Tabung Haji (TH) telah bersedia sepenuhnya untuk menerima 22,320 jemaah haji yang bakal berlepas ke Tanah Suci Mekah pada 16 Ogos ini.

Pengurus Besar Kanan Haji, Datuk Syed Saleh Syed Abdul Rahman berkata pihaknya telah memulakan persiapan sejak tahun lalu bagi memastikan TH sentiasa menambah baik perkhidmatan kepada pelanggannya.

"Persiapan memang kami mula dua minggu selepas pesawat terakhir tiba semasa musim haji tahun lalu.

"Kita (TH) bermula dengan post-mortem, lihat apa kelemahan, nilai semula pengendalian terdahulu dan apakah cara yang boleh kita tingkatkan lagi prestasi kita.

Tambahnya, persiapan awal merangkumi isu penginapan dan kemudahan lain dengan pihak Arab Saudi juga diadakan bagi memastikan kelancaran pengendalian jemaah pada tahun ini.

"Kita ada buat rundingan dan mesyuarat dengan Kementerian Haji dan Kementerian Luar di Arab Saudi dan kemudian kita hantar pasukan ke sana untuk membuat persiapan daripada segi penginapan, infrastruktur, kemudahan kewangan, sajian makanan dan sebagainya.

"Di samping itu, kami juga beri latihan serta kursus kepada petugas TH," ujar Syed Saleh selepas menyempurnakan Majlis Pelepasan Petugas Haji 'Advance Party' ke Tanah Suci 1436 Hijrah di Kompleks Tabung Haji di sini hari ini.

Tambah beliau, persediaan bukan sahaja melibatkan petugas TH sahaja malah persediaan dalam kalangan jemaah haji.

"Jemaah haji juga saya rasa telah bersedia dengan melalui kursus-kursus haji dari awal tahun hingga yang akhir iaitu pada Kursus Perdana Haji yang baru lalu.

"Saya harap mereka telah bersedia sepenuhnya daripada segi mental, fizikal, rohani dan ilmu untuk sama-sama melancarkan operasi Haji tahun ini," katanya.

Kumpulan pertama jemaah haji akan berlepas ke Tanah Suci pada 16 Ogos ini menerusi penerbangan pertama KT-1 di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).

Mengulas berkenaan kuota haji, Syed Saleh berkata kerajaan Arab Saudi dijangka akan menambah semula kuota haji daripada 22,320 kepada 27,900 jemaah pada musim haji akan datang.

Katanya, kerja-kerja pembinaan yang sedang berlangsung kini menyebabkan kerajaan Arab Saudi terpaksa mengurangkan 20 peratus kuota pada tahun ini.

"Dengan kerja-kerja pembesaran Masjidil Haram, termasuk juga pembinaan hotel dan stesen keretapi sekitar masjid itu menyebabkan mereka (Arab Saudi) mengurangkan kuota.

"InsyaAllah tahun depan, kita akan kembali semula kepada kuota asal iaitu 27,900 jemaah," ujar Syed Saleh.

Pada masa sama, beliau turut menasihati jemaah agar sentiasa menjaga kesihatan terutama mengimbangi kandungan air dalam badan kerana serta cuaca di Arab Saudi yang kering dan suhu pada ketika ini melebihi 40 darjah selsius.

Pada majlis hari ini, seramai 22 petugas media daripada pelbagai agensi antara 84 orang petugas yang menyertai kumpulan ketiga petugas haji merangkumi pembimbing jemaah dan pasukan perubatan berlepas ke Tanah Suci.

Kumpulan pertama telah berlepas pada 3 Ogos lalu, diikuti kumpulan kedua pada 8 Ogos untuk membuat persiapan awal.

Setakat ini, 211 petugas haji telah berlepas ke Tanah Suci manakala 360 petugas haji yang lain akan berlepas secara berperingkat bermula 16 Ogos.