BANGKOK:Thailand berharap gelombang kedua pandemik COVID-19 yang tercetus sejak pertengahan Disember lepas akan perlahan dalam tempoh dua minggu lagi.

Penularan terbaharu di sebuah pasar makanan laut di Samut Sakhon menyaksikan jumlah kes COVID-19 melonjak kepada hampir 6,000 kes dalam tempoh lebih tiga minggu.

Jurucakap Pusat Pentadbiran Situasi COVID-19 (CCSA) Thaweesilp Wissanuyothin berkata 19 wilayah di negara itu tidak melaporkan sebarang kes COVID-19 dalam penularan wabak terbaharu itu.

"Sehingga kini, 21 wilayah tidak mempunyai kes baharu yang dilaporkan sejak tujuh hari lepas.

"Daripada analisis yang dijalankan Kementerian Kesihatan Awam, gelombang semasa wabak COVID-19 adalah stabil dan berkemungkinan perlahan menjelang akhir Januari," katanya dalam taklimat harian COVID-19 pada Isnin.

Sepanjang 24 jam lepas, Thailand mencatatkan 249 kes baharu COVID-19 termasuk 224 kes penularan tempatan manakala tiada kes kematian, menjadikan keseluruhan kes di negara itu adalah 10,547 kes dengan 67 kes kematian.

Beliau berkata terdapat 25 kes import termasuk 14 kes dari Myanmar dan 11 di pusat kuarantin alternatif negara (ASQ).

Sementara itu, Thailand telah mengetatkan penguatkuasaannya di sempadan bagi mengawasi kemasukan warga Thailand yang pulang dari Myanmar.

Media tempatan melaporkan ratusan rakyat Thailand yang bekerja di kasino di bandar Myawaddy Myanmar, terletak bersempadan dengan Thailand, dijangka bergerak kembali melalui wilayah Tak selepas kerajaan itu membuka semula pusat pemeriksaan sementara bagi membolehkan mereka pulang.

Pembukaan semula pusat pemeriksaan itu bertujuan menghalang pekerja Thailand daripada menyelinap ke dalam negara itu dan menimbulkan risiko jangkitan kepada komuniti tempatan.

-- BERNAMA