MALAYSIA
Thailand puji kepimpinan berkesan Malaysia sebagai Pengerusi ASEAN pada AMM ke-58

AMM ke-58 dan mesyuarat berkaitan berlangsung dari 8 hingga 11 Julai di bawah Kepengerusian ASEAN Malaysia 2025 bertemakan 'Keterangkuman dan Kemampanan'. - Gambar fail/REUTERS
BANGKOK: Thailand memuji Malaysia selaku Pengerusi ASEAN semasa atas kejayaan menganjurkan Mesyuarat Menteri-Menteri Luar ASEAN (AMM) ke-58 yang konstruktif di Kuala Lumpur.
Ketua Pengarah Jabatan Hal Ehwal ASEAN Thailand, Bolbongse Vangphaen berkata Kepengerusian Malaysia telah menguruskan siri mesyuarat berkenaan dengan berkesan yang menumpukan kepada agenda positif dan berpandangan ke hadapan.
"Saya percaya mesyuarat ini secara dasarnya telah mencapai objektifnya untuk menggalakkan penglibatan yang membina dan positif dalam kalangan semua kuasa besar, di samping memajukan kerjasama praktikal dalam rantau ASEAN," katanya pada sidang media di sini, Rabu.
Bolbongse menekankan bahawa mesyuarat itu diadakan tepat pada masanya berdasarkan konteks global semasa yang dicirikan oleh ketidaktentuan geopolitik dan geoekonomi yang ketara.Beliau berkata Menteri Luar Thailand, Maris Sangiampongsa turut menegaskan kepentingan multilateralisme dan orde antarabangsa yang berasaskan undang-undang antarabangsa, yang akan menyumbang kepada keamanan, kestabilan dan daya tahan serantau.
"ASEAN sudah tentu, berusaha mengekalkan autonomi strategiknya sambil pada masa yang sama memperkukuh hubungan luarnya," tambah beliau.
Bolbongse turut menjelaskan bahawa antara isu utama yang dibangkitkan oleh hampir semua negara di AMM ialah ancaman jenayah siber dan penipuan dalam talian yang semakin meningkat.
"Ini merupakan isu yang menjejaskan semua orang di rantau ini - ia mendatangkan ancaman terhadap ekonomi dan keselamatan manusia.
"Thailand telah menjadikan usaha menangani dan membanteras jenayah rentas sempadan ini sebagai keutamaan negara dan isu itu telah menerima sokongan kukuh daripada semua negara yang mengambil bahagian," katanya.
AMM ke-58 dan mesyuarat berkaitan berlangsung dari 8 hingga 11 Julai di bawah Kepengerusian ASEAN Malaysia 2025 bertemakan "Keterangkuman dan Kemampanan".
Siri mesyuarat itu merangkumi lebih 20 mesyuarat peringkat menteri, melibatkan rakan dialog dan rakan dialog sektoral ASEAN.
-- BERNAMA
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami