Skip to main content

Malaysia

THR GEGAR buka peluang bakat baharu menerusi #SuaraTHRGegar

THR GEGAR membuka peluang kepada anak muda untuk menampilkan bakat penyiaran, pengacaraan dan komunikasi menerusi kempen #SuaraTHRGegar.
THR GEGAR membuka peluang kepada anak muda untuk menampilkan bakat penyiaran, pengacaraan dan komunikasi menerusi kempen #SuaraTHRGegar.

Advertisement

KUALA LUMPUR: THR GEGAR membuka peluang kepada anak muda berusia antara 19 hingga 32 tahun yang mempunyai minat dan bakat dalam bidang penyiaran untuk menyertai inisiatif#SuaraTHRGegar, sekali gus memberi ruang kepada bakat baharu mencuba nasib sebagai penyampai radio.

Menurut Pengurus Jenama THR GEGAR, Azah Sahrin, inisiatif itu merupakan salah satu usaha stesen radio berkenaan untuk mengenal pasti bakat baharu yang berpotensi serta memiliki personaliti dan suara yang mampu menarik perhatian pendengar.

“Kami percaya ramai anak muda di luar sana mempunyai bakat dan personaliti tersendiri, tetapi mungkin belum mendapat peluang untuk mengetengahkan kebolehan mereka. Melalui #SuaraTHRGegar, kami mahu membuka ruang seluas-luasnya kepada mereka untuk mencuba dan menunjukkan bakat masing-masing,” katanya.

Beliau berkata penyertaan terbuka kepada semua, namun keutamaan diberikan kepada mereka yang berasal dari Pantai Timur serta mempunyai penguasaan dialek atau loghat Pantai Timur, selari dengan identiti THR GEGAR sebagai stesen radio yang dekat dengan masyarakat di wilayah tersebut.

“Loghat dan dialek Pantai Timur merupakan antara keunikan yang menjadikan THR GEGAR begitu dekat dengan pendengar. Jadi, kami amat mengalu-alukan bakat yang mampu menampilkan identiti dan keaslian Pantai Timur dengan cara mereka sendiri,” tambah Azah.

Bagi menyertai #SuaraTHRGegar, peserta hanya perlu menghasilkan dan memuat naik video uji bakat berdurasi satu minit di platform media sosial masing-masing menggunakan tanda pagar berkenaan. Peserta juga perlu memastikan akaun media sosial yang digunakan berada dalam mod awam.

Inisiatif itu terbuka kepada individu berusia 19 hingga 32 tahun dan mereka yang berminat boleh menampilkan bakat dalam penyampaian, pengacaraan, penggunaan suara, personaliti serta kebolehan berkomunikasi menerusi video uji bakat masing-masing.

“Tak semestinya perlu mempunyai pengalaman dalam radio. Apa yang kami mahu lihat ialah keyakinan, keaslian, kreativiti dan bagaimana peserta mampu membawa diri serta berkomunikasi dengan pendengar. Mungkin daripada video satu minit itu, kami dapat menemui suara baharu THR GEGAR,” ujar beliau.

Azah berkata mereka yang merasakan mempunyai suara dan personaliti tersendiri digalakkan menyahut cabaran itu serta menggunakan peluang tersebut untuk memperkenalkan bakat kepada THR GEGAR.

THR GEGAR merupakan sebahagian daripada 13 rangkaian di bawah Astro Audio dan kini memiliki lebih 1.2 juta pengikut di media sosial, selain kekal sebagai stesen radio nombor satu di Kelantan, Terengganu dan Pahang

 

 

Must Watch Video

Advertisement