Transparency International Malaysia (TI-M) mahu Jabatan Hutan Sarawak menggunakan peruntukan baharu dan tindakan tegas dalam menangani pembalakan haram dengan segera.

TI-M turut berharap apabila pendakwaan dibuat terhadap individu yang bersalah pastikan hukuman berat dikenakan terhadap mereka.

"Tanpa dikenakan hukuman penjara, kemungkinan besar tertuduh akan mengulangi kegiatan mereka.

"Selain untuk memastikan mereka tidak akan melakukan kesalahan yang sama, hukuman penjara juga akan memberi pengajaran kepada orang lain agar tidak melakukan perbuatan yang sama," kata Presiden TI-M Datuk Akhbar Satar dalam satu kenyataan hari ini.

Pada April, Dewan Undangan Negeri Sarawak telah meluluskan pindaan ke atas Ordinan Perhutanan 2015, di mana hukuman penjara mandatori dan denda RM25,000 bagi setiap kesalahan menanti pembalak haram.

BACA: SPRM lancar Ops Gergaji cari pembalak elak cukai

BACA: Ops Gergaji: SPRM sita 1,785 balak, beku 519 akaun bernilai RM700 juta

BACA: Ops Gergaji: Biro pemantau Perkasa puji tindakan berani SPRM

Pindaan ini turut memperuntukkan penahanan tanpa waran, menahan dan memeriksa kenderaan disyaki digunakan dalam kegiatan pembalakan haram dan pelucutan hak barangan dirampas.

Malah, peruntukan baharu juga memberi kuasa kepada mahkamah untuk mengarahkan pembalak membayar royalti, premium dan cukai tidak kurang 10 kali ganda nilai balak haram kepada kerajaan negeri.

"TI-M amat berharap Jabatan Hutan Negeri Sarawak akan menggunakan peruntukan baharu yang telah dibekalkan oleh Dewan Undangan Negeri untuk bertindak tegas.

"Penyelesaian dengan hanya mengenakan kompaun yang diamalkan di kebanyakan negeri selama ini di Malaysia sudah tidak lagi berkesan.

“Kompaun tidak menakutkan pihak yang menjalankan pembalakan haram, sebaliknya kerakusan menggondol hutan berterusan dan makin berleluasa,” katanya.

TI-M turut memuji jalinan kerjasama Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan Jabatan Hutan dalam Ops Gergaji adalah baik.

Akhbar berkata tindakan proaktif Jabatan Hutan Sarawak adalah sangat penting bagi melindungi 'aset hijau' negara dari digondol kumpulan yang hanya mengutamakan keuntungan segera.

"Hanya tindakan tegas dan berterusan Jabatan Hutan Negeri Sarawak yang boleh memastikan pembalakan haram di Sarawak dapat diatasi sama sekali," katanya lagi.