KUCHING: Akad nikah bagi pasangan yang telah mendapat kebenaran berkahwin di Sarawak boleh diadakan di pejabat agama Islam bahagian, daerah dan premis Majlis Islam Sarawak.

Majlis Islam Sarawak (MIS) dalam kenyataannya hari ini memutuskan garis panduan mengenai pelaksanaan akad nikah dalam tempoh perintah kawalan pergerakan (PKP) di bawah Pelan Pemulihan Negara (PPN) di negeri itu.

Bagaimanapun ia tertakluk kepada prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan.

“Had maksimum kehadiran adalah lapan orang termasuk jurunikah dan saksi selain tertakluk kepada ruang yang digunakan.

“Mematuhi janji temu yang ditetapkan, tidak boleh berjabat tangan,” kata kenyataan itu.

Antara lain, tempoh masa akad nikah tidak boleh melebihi 20 minit termasuk lafaz taklik.

Pertukaran barang hantaran serta acara menyarung cincin juga tidak dibenarkan.

Kata Majlis Islam Sarawak, keputusan itu dibuat sebagai mematuhi garis panduan yang ditetapkan Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Sarawak (JPBNS), Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan Majlis Keselamatan Negara (MKN).

Garis panduan baharu itu berkuat kuasa mulai 1 Julai dan pindaan boleh dilakukan dari semasa ke semasa.

Untuk rekod seramai 368 pasangan di seluruh bahagian di Sarawak telah diluluskan untuk melaksanakan majlis akad nikah dalam tempoh 29 Mei hingga 11 Jun lalu.

Sebelum ini, Menteri Muda Hal Ehwal Islam dan DBKU Datuk Dr Abdul Rahman Junaidi berkata Jabatan Agama Islam Sarawak (JAIS) telah mengemukakan permohonan kepada JPBNS untuk membenarkan majlis akad nikah diadakan secara bersemuka.

Malah beliau turut mendedahkan sekiranya tidak dibenarkan, pihaknya mungkin mewujudkan kaedah altenatif termasuk melaksanakan akad nikah secara dalam talian.