MALAYSIA
Tiada bayaran boleh dikenakan buat rakyat yang mendapatkan vaksin COVID-19

Menteri Penyelaras Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK), Khairy Jamaluddin menegaskan pemberian vaksin COVID-19 buat rakyat Malaysia di bawah program PICK itu adalah percuma. - Gambar fail
KUALA LUMPUR : Tiada bayaran yang boleh dikenakan kepada mana-mana rakyat Malaysia yang hadir ke Pusat Pemberian Vaksin (PPV) termasuk di bawah pengamal perubatan swasta.
Tegas Menteri Penyelaras Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK), Khairy Jamaluddin, ini kerana pemberian vaksin COVID-19 bagi rakyat Malaysia di bawah program itu adalah percuma.
"Tiada kos rundingan juga boleh dikenakan oleh pengamal perubatan swasta ke atas orang
ramai yang hadir atas janji temu yang telah diberikan untuk divaksinasi," katanya menerusi kenyataan yang dikeluarkan pada Khamis
Ujarnya, ketika ini terdapat beberapa jenis PPV yang dikendalikan pengamal perubatan swasta di bawah pemantauan ProtectHealth Corporation Sdn. Bhd. iaitu sebuah syarikat bukan berasaskan keuntungan milik Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).
"PPV tersebut adalah PPV Pengamal Perubatan Am Swasta, PPV Hospital Swasta, PPV Klinik Pakar, PPV Pusat Jagaan Ambulatori dan PPV Industri," ujarnya.
Beliau dalam masa sama turut menambah prinsip tanpa bayaran ini turut terpakai bagi program PPV Industri di bawah Program Imunisasi Industri COVID-19 Kerjasama Awam-Swasta (PIKAS).
"Vaksin dibekalkan secara percuma di bawah PIKAS. Kos pentadbiran vaksin perlu ditanggung majikan yang mana kos tersebut merangkumi penyediaan PPV dikendalikan pihak swasta dan perkhidmatan pengamal perubatan swasta.
"Majikan dilarang memindahkan kos pentadbiran vaksin kepada pekerja melalui potongan gaji pekerja berkenaan," jelas beliau lagi.
Oleh yang demikian, beliau menasihatkan kepada orang ramai untuk tidak berurusan dengan mana-mana pihak yang menawarkan pembelian vaksin dan terus melaporkan perkara berkenaan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut.
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami