KUALA LUMPUR: Tiada bukti menunjukkan debu beracun daripada letusan gunung berapi di Indonesia, merentasi ruang udara negara seperti yang tular di media sosial baru-baru ini.
Ketua Pengarah Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) Dr Mohd Hisham Mohd Anip berkata berdasarkan pemantauan semasa, abu gunung berapi termasuk daripada letusan Gunung Anak Krakatau dikesan bergerak ke arah Lautan Hindi di barat laut Sumatera.
“Kejadian letusan gunung berapi atau gempa bumi dengan fenomena El Nino yang melanda negara, dua perkara berbeza dan tiada kaitan langsung. Kebetulan berlaku pada tempoh sama, jadi ada pihak menyangka ia berkait.
“Hasil pemantauan mendapati, debu-debu berkenaan bergerak ke kawasan lautan terbuka dan bukannya ke arah Semenanjung, Sabah atau Sarawak. Saya menggesa orang ramai, terutama jaguh siber supaya menghentikan penyebaran maklumat tidak sahih untuk mengelakkan panik,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menjadi tetamu dalam program Fokus 30 bertajuk “Super El Nino: Kesan Kepada Negara” terbitan Bernama Radio, di sini hari ini.
Tular di media sosial mendakwa gas sulfur dioksida memasuki ruang udara negara, susulan letusan terbaharu Gunung Anak Krakatau, dengan paparan imej model atmosfera berwarna merah dan jingga serta menggesa orang ramai memakai pelitup muka.
Sebelum ini, Gunung Anak Krakatau yang terletak di Selat Sunda mengalami episod letusan berterusan kira-kira 25 jam bermula 11.07 malam, 4 Sept dan berakhir 12.04 tengah malam, 6 Sept.
Mengenai perkembangan cuaca semasa, Mohd Hisham berkata negara ketika ini masih berdepan fasa El Nino biasa, yang secara beransur-ansur berubah daripada tahap lemah ke tahap sederhana dan kuat, sebelum dijangka mencapai kemuncak “sangat kuat” atau Super El Nino.
Beliau berkata Super El Nino dijangka melanda negara pada penghujung Monsun Timur Laut iaitu sekitar Mac hingga April tahun depan, khususnya di negeri utara Semenanjung.
-- BERNAMA