KUALA LUMPUR:Mahkamah Tinggi di sini hari ini memutuskan bahawa tiada bukti yang menunjukkan Muhammad Zahid Md Arip, bekas pegawai khas politik kepada Tan Sri Mohd Isa Abdul Samad, berkomplot dengan individu lain untuk berkongsi wang suapan RM3 juta dan menganiaya bekas Pengerusi Felda itu.

Individu lain yang dimaksudkan ialah saksi pendakwaan ke-15 (SP15) iaitu bekas Ketua Pegawai Eksekutif Felda Investment Corporation Sdn Bhd (FICSB) Mohd Zaid Abdul Jalil, bekas Ahli Lembaga Pengarah (ALP) Gegasan Abadi Properties Sdn Bhd (GAPSB) Ikhwan Zaidel (SP16) serta Pemegang Saham dan Pengarah JV Evolution Sdn Bhd (JVESB) Azizi Abdul Wahab (SP17).

Hakim Mohd Nazlan Mohd Ghazali, dalam penghakiman ringkas, berkata tiada keterangan menunjukkan Muhammad Zahid, yang merupakan saksi pendakwaan ke-21 (SP21) dan berkhidmat dengan Mohd Isa, mempunyai motif untuk menyalah guna kedudukan tertuduh bagi meminta suapan daripada Ikhwan untuk dirinya sendiri.

"Tambahan pula, apakah keperluan untuk SP16 menyerahkan lebih RM3 juta kepada SP21 yang hanya merupakan pegawai khas tertuduh dan tidak mempunyai sebarang kuasa dalam proses pembelian Merdeka Palace Hotel & Suites (MPHS) daripada GAPSB oleh FICSB, termasuk dalam aspek rundingan, kelulusan dan pembayaran.

"Tiada sebab munasabah untuk SP17 dan SP16 sebagai ahli perniagaan yang beroleh manfaat daripada persetujuan dan kelulusan FICSB atas pembelian MPHS daripada GAPSB, untuk merancang menipu dan menganiaya tertuduh.

"Tambahan pula, sumber wang suapan itu adalah daripada bayaran pembelian MPHS oleh FICSB kepada GAPSB yang telah membolehkan SP16 membayar komisen kepada JVESB seperti yang dijanjikan berdasarkan peranan JVESB sebagai agen," katanya.

Mohd Nazlan menjatuhkan hukuman penjara enam tahun bagi setiap pertuduhan dan denda berjumlah RM15.45 juta atau penjara 18 tahun ke atas Mohd Isa selepas mensabitkan beliau dengan sembilan pertuduhan menerima rasuah RM3 juta berhubung pembelian MPHS bernilai RM160 juta di Kuching, Sarawak oleh FICSB.

Beliau berkata mahkamah mendapati naratif yang dibangkitkan pihak pembelaan bahawa wang suapan itu dikeluarkan atas rancangan konspirasi SP15, SP17, SP16 dan SP21 untuk keperluan dana politik yang sebenarnya diseleweng oleh mereka yang berkomplot berkongsi habuan wang komisen hasil penjualan MPHS dan menjadikan tertuduh sebagai mangsa, langsung tidak mempunyai merit.

"Mahkamah tidak terima teori ini. Tiada keterangan termasuk oleh saksi pembelaan yang membayangkan perkara ini sebenarnya telah berlaku," katanya sambil menambah Mohd Isa dalam keterangan lisan menimbulkan perkara baharu iaitu Muhammad Zahid telah mengaku bahawa beliau ada membabitkan tertuduh.

"Menurut tertuduh, pengakuan ini berlaku bukan sekali tapi dua kali. Jelas kepada mahkamah, perkara-perkara ini langsung tidak disoal kepada SP21 di peringkat pendakwaan. Tiada soalan diajukan kepada SP21 bahawa SP21 tertekan disebabkan keadaan beliau teruk dan tidak tahan ketika direman di bangunan lama Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) yang dikatakan berhantu.

-- BERNAMA