Kerajaan hanya akan mempertimbangkan untuk melonggarkan kawalan sempadan antarabangsa sekiranya Malaysia berjaya mengawal penularan COVID-19 sepanjang Perintah Pergerakan Pemulihan (PKPP).

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham berkata, pertimbangan untuk membuka pintu sempadan termasuk membabitkan pelancongan hanya boleh dilaksanakan jika kes COVID-19 di negara ini kekal kepada satu angka sepanjang tempoh itu.

"Kalau kita dapat kawal penularan sehingga 31 Ogos, ini bermakna kita sudah berjaya.

"Selepas itu baharu kita akan kenal pasti negara-negara dan perkembangan jangkitan (COVID-19) di setiap negara-negara itu sebelum mengambil sebarang keputusan untuk melonggarkan sempadan negara," katanya pada sidang media di Putrajaya di sini, pada Isnin.

Namun begitu, kata Dr Noor Hisham, ia bergantung kepada prosedur operasi standard (SOP) dan perlu dipersetujui kedua-dua negara.

Jelasnya, konsep green bubble boleh diketengahkan dengan merentas dua negara dari negara terpilih sahaja dan pelaksanaannya mempunyai kriteria tertentu.

"Memasuki fasa pemulihan, kita buka sektor dalam negara termasuk ekonomi, sosial dan pelajaran.

"Kalau kita boleh kawal penularan COVID-19, mungkin kita akan pertimbangkan kelonggaran kawalan sempadan kepada negara-negara yang mempunyai rekod baik.