Skip to main content

Malaysia

Tiada data nasional femisida, WAO kesan 50 kes menerusi laporan media dalam tiga tahun

Pengarah Eksekutif Women’s Aid Organisation (WAO), Nazreen Nizam berkata, berdasarkan pemantauan laporan media yang dijalankan pihaknya, sebanyak 50 kes femisida dikenal pasti sepanjang tempoh tiga tahun antara 2023 hingga 2025. - Gambar hiasan
Pengarah Eksekutif Women’s Aid Organisation (WAO), Nazreen Nizam berkata, berdasarkan pemantauan laporan media yang dijalankan pihaknya, sebanyak 50 kes femisida dikenal pasti sepanjang tempoh tiga tahun antara 2023 hingga 2025. - Gambar hiasan

Advertisement

KUALA LUMPUR: Ketiadaan data nasional khusus mengenai femisida atau pembunuhan wanita berasaskan gender menyukarkan usaha mengenal pasti trend sebenar jenayah berkenaan di Malaysia, termasuk sama ada jumlah kes menunjukkan peningkatan atau penurunan.

Pengarah Eksekutif Women’s Aid Organisation (WAO), Nazreen Nizam berkata, berdasarkan pemantauan laporan media yang dijalankan pihaknya, sebanyak 50 kes femisida dikenal pasti sepanjang tempoh tiga tahun antara 2023 hingga 2025.

“Kalau hendak bercakap mengenai trend, kita perlu ada data. Tapi di Malaysia, kita tidak ada data nasional yang khusus tentang femisida.

“Jadi susah untuk kita cakap kes itu meningkat atau menurun. Pada 2023 kami rekodkan 18 kes, 2024 sebanyak 17 kes dan 2025 sebanyak 15 kes.

“Tapi seperti saya katakan, ini kes yang dilaporkan di media. Ia tidak semestinya kes femisida secara keseluruhannya,” katanya dalam program Dialog Tiga Penjuru pada Khamis.

Menurut Nazreen, pengumpulan data yang lebih menyeluruh penting bagi membolehkan pihak berkuasa mengenal pasti corak keganasan terhadap wanita serta merangka langkah pencegahan dan perlindungan yang lebih berkesan.

Sementara itu, bekas Pengarah Pusat Penyelidikan Wanita dan Gender (KANITA), Universiti Sains Malaysia (USM), Prof. Datuk Dr. Noraida Endut menjelaskan bahawa femisida mempunyai dimensi gender yang membezakannya daripada kes pembunuhan biasa.

“Femisida adalah pembunuhan secara sengaja wanita atau kanak-kanak perempuan sebagai satu manifestasi kepada stereotaip gender yang mendalam.

“Yang penting juga kita fikirkan apabila menyentuh mengenai isu femisida ialah faktor risikonya adalah menjadi wanita atau kanak-kanak perempuan. Itulah faktor risikonya,” jelas beliau.

Justeru, kedua-dua panelis menekankan kepentingan memahami femisida sebagai satu bentuk keganasan berasaskan gender yang memerlukan pengumpulan data khusus, selain pendekatan pencegahan lebih awal bagi melindungi wanita dan kanak-kanak perempuan daripada menjadi mangsa. 

Dialog Tiga Penjuru: Bila Nyawa Diragut Kerana Gender

Must Watch Video

Advertisement