Pengeluaran daripada Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) tidak dikenakan Cukai Barang dan Perkhidmatan (CBP) yang berkuat kuasa pada 1 April.

KWSP dalam satu kenyataan hari ini mengingatkan ahlinya agar tidak melantik ejen atau pihak ketiga untuk membantu membuat sebarang pengeluaran.

"Ahli-ahli yang memenuhi syarat-syarat dinasihatkan berurusan terus dengan KWSP untuk membuat pengeluaran.

"Bagi Skim Pelaburan Ahli KWSP, KWSP tidak akan mengenakan CBP bagi amaun dipindahkan untuk pelaburan," kata kenyataan itu.

KLIK UNTUK SEGALA BERITA MENGENAI GST

Di bawah skim tersebut, ahli-ahli dibenarkan untuk memindah sebahagian daripada wang KWSP mereka untuk melabur dalam dana saham amanah yang diluluskan KWSP.

"Ahli-ahli dinasihatkan untuk memahami kos dan risiko yang terlibat, dan mendapatkan nasihat daripada penasihat berkelayakan, sebelum memutuskan untuk menyertai skim itu," kata KWSP.