KUALA LUMPUR: Kejayaan membunuh dan menangkap anggota komunis adalah antara yang paling membanggakan bagi bekas pegawai tentera Kpt (B) V. Panir Chellvum sepanjang 12 tahun berkhidmat dengan Angkatan Tentera Malaysia (ATM).

Panir Chellvum, 67, berkata perisitiwa bersejarah dalam hidupnya itu berlaku ketika beliau terbabit dalam 'Op Pagar' antara ATM dan polis bagi memburu ancaman komunis di Gerik, Perak pada 14 Feb 1977.

Berkongsi pengalaman itu kepada Bernama baru-baru ini, katanya kejadian berlaku ketika beliau berusia 22 tahun dan berpangkat Leftenan Muda ditugaskan untuk mengetuai kumpulan yang dianggotai empat lagi rakan sepasukan melakukan serang hendap terhadap ancaman komunis selepas mendapat maklumat risikan 'kategori A' daripada pihak polis.

Tanpa memikirkan soal gentar atau takut dalam mempertahankan kedaulatan negara, Panir Chellvum dan pasukannya bergerak dalam kegelapan malam ke lokasi operasi jauh di dalam hutan.

Semasa beliau dan pasukannya meletakkan 'claymore mine' (periuk api) di lokasi tersebut, mereka dikejutkan dengan pancaran lampu suluh musuh dari arah belakang sebelum seorang ahli pasukannya melepaskan tembakan.

Musuh seramai kira-kira 15 orang terkejut dengan tembakan itu kemudian kedua-dua kumpulan saling berbalas tembakan selama 30 minit.

"Ketika itu juga kami terdengar jeritan suara yang disebut dalam bahasa Cina 'cau' yang bermaksud lari dan kami berhenti menembak. Selepas itu kami terdengar bunyi geseran daun kering di hadapan kami. Saya tahu ini bunyi gerakan musuh yang kembali mendekati kedudukan kami.

"Apabila bunyi gerakan semakin hampir, saya melontarkan lima grenad ke arah bunyi tersebut dan empat daripadanya meletup.

"Musuh sudah berlarian dan saya terus menghubungi pasukan 'Artillery Fire' untuk memberikan kami 'illuminating rounds'. Ketika itu saya dapat melihat banyak beg galas kepunyaan musuh dan juga terlihat seorang anggota komunis terbaring betul-betul di hadapan saya," katanya.

Menurut Panir Chellvum, beliau terus meluru ke arah musuh tersebut dan menembaknya sehingga mati sebelum mereka kembali ke kedudukan asal dan berjaga-jaga di kawasan tersebut hingga pagi.
Keesokannya ketika meninjau di sekitar kawasan pertempuran, Panir Chellvum berjaya menawan seorang anggota komunis yang sedang ketakutan selepas ditinggalkan oleh rakan-rakannya yang lain dan setelah disoal siasat, tawanan tersebut memberitahu bahawa musuh yang terbunuh itu adalah ketuanya.

Susulan kejayaan itu, Panir Chellvum telah menerima Pingat Gagah Berani pada 1978.

Sementara itu, seorang lagi bekas polis Charan Singh Hajara Singh, 75, berkata sepanjang lebih 30 tahun perkhidmatan dalam pasukan Polis Diraja Malaysia, operasi Lada Pedas di Sarikei, Sarawak pada 1970 adalah momen yang paling tidak dapat dilupakan.

Dalam kebuntuan pasukannya berbincang tentang kaedah dan bagaimana platun mereka diserang hendap musuh, beliau yang ketika itu ditugaskan di Unit Semboyan berjaya menemui jawapannya.

"Ketika itu Komander dan pasukan sedang berbincang mengenai platun kami yang diserang. Sebanyak tiga perangkap samar telah meletup. Saya yang ingin tahu tentang serangan itu nekad memanjat tebing berdekatan kawasan berlakunya letupan.

"Saya nampak ada tiga kubu dan nasi yang sudah dimasak di dalam tin kerosin yang sudah dimakan sedikit. Di sana ada satu bateri dengan wayar pada satu bahagian telah disambungkan manakala satu bahagian lagi tidak," katanya.

Berbekalkan ilmu taktikal operasi yang diajar sewaktu menyertai pasukan itu, beliau bertindak menyahsambungkan wayar hitam pada bateri berkenaan dan Charan berkata beliau bersyukur, nasib menyebelahinya dan dirinya dilindungi tuhan.

"Dua daripadanya meletup. Rupa-rupanya ada tiga ke lima perangkap samar yang dipasang musuh, pada jarak kira-kira empat ela (3.7 meter)," katanya.

Menurutnya selepas selesai operasi di situ, beliau dan pasukannya yang berpangkalan di Ipoh/Ulu Kinta, Perak pulang semula ke Semenanjung dan terlibat dengan beberapa lagi operasi lain menentang komunis.

Pada akhir perkhidmatannya, Charan bertugas di Balai Polis Kuala Lumpur hingga 1995. Sebelum itu, beliau pernah berkhidmat dengan Pasukan Polis Marin Pulau Langkawi serta dalam Cawangan Khas di Songkhla, Selatan Thailand sewaktu bertugas di Alor Setar, Kedah.

-- BERNAMA