SUKAN
Piala Asia Wanita: Speedy Tigress belasah Taiwan 11-1

Skuad bimbingan Mohd Nasihin Nubli Ibrahim menunjukkan aksi 'garang' sejak awal permainan. - Facebook Malaysian Hockey Confederation
KUALA LUMPUR: Skuad hoki wanita negara bangkit daripada kekalahan dalam aksi pembukaan Kumpulan A Kejohanan Hoki Piala Asia Wanita dengan 'membelasah' Taiwan 11-1.
Pada aksi di Gongshu Canal Sports Park Stadium, Hangzhou, China, skuad bimbingan Mohd Nasihin Nubli Ibrahim bermula garang apabila meledak empat gol pada suku pertama menerusi Nur Afiqah Syahzani Azhar (minit ke-2), Nuramirah Shakirah Zulkifli (3'), Khairunnisa Ayuni Mohd Sharuddin (8') dan Hanis Nadiah Onn (14').
Rentak cemerlang itu diteruskan pada suku kedua dengan jaringan padang Nuramirah Shakirah Zulkifli pada minit ke -16 sebelum disusuli dua gol pukulan sudut penalti oleh Shafika Mahd Sukri (21') dan Nur Afiqah Syahzani (23') sekali gus meletakkan Malaysia di depan 7-0 pada separuh masa pertama.
Memasuki babak kedua, Malaysia menambah empat gol lagi menerusi Khairunnisa Ayuni (32'), Siti Nur Arfah Mohd Nor (36', 56') dan Nur Afiqah Syahzani (60').Taiwan memperoleh gol sagu hati menerusi pukulan penalti strok yang disempurnakan Huang Yu-Ting pada minit ke-59 untuk keputusan akhir 11-1.
"Alhamdulillah kita dapat menang hari ini satu keputusan yang bagus untuk dibawa ke perlawanan seterusnya.
"Saya pasti kemenangan besar ini pemain akan lebih bersemangat untuk perlawanan bertemu Korea Selatan untuk aksi terakhir Kumpulan A esok," kata Nasihin menerusi video yang dikongsikan Konfederasi Hoki Malaysia (KHM).
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami