PERSEKUTUAN Bolasepak Antarabangsa (FIFA) mengucapkan terima kasih atas cadangan Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) mencalonkan gol sensasi pemain Pulau Pinang, Faiz Subri untuk Anugerah Puskas FIFA 2016.

Dalam surat bertarikh 14 Mac 2016 dari ibu pejabat FIFA di Zurich, Switzerland yang ditandatangani Pemangku Setiausaha Agung FIFA Markus Kattner itu, badan dunia itu mengesahkan bahawa gol Faiz itu masih ada peluang untuk disenaraikan dalam 10 calon terakhir bagi anugerah berprestij jaringan gol terbaik dunia.

Bagaimanapun, seperti calon-calon lain, FIFA tidak memberi sebarang jaminan bahawa ia akan tersenarai.

Terdahulu dalam surat yang dihantar kepada FIFA pada 22 Februari 2016, FAM mencadangkan agar gol dijaringkan pemain berusia 29 tahun itu dapat disenaraikan sebagai antara calon Anugerah Puskas FIFA 2016.

Jaringan unik itu dilakukan menerusi sepakan percuma dari jarak kira-kira 32 meter pada minit ke-62 ketika perlawanan Liga Super 2016 antara Pulau Pinang bertemu Pahang di Stadium Bandaraya, Pulau Pinang pada 16 Februari 2016.