KUALA LUMPUR: Isu dakwaan kononnya wujud kartel di dalam Polis Diraja Malaysia (PDRM) telah mencetuskan perang mulut antara beberapa Ahli Parlimen blok pembangkang dengan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hamzah Zainudin.

Ia bermula apabila Hamzah memaklumkan bahawa siasatan PDRM mendapati tidak wujud sebarang kartel dalam badan penguatkuasaan itu.

"Berkenaan dakwaan wujud kartel di dalam PDRM, siasatan dalaman telah dilakukan oleh PDRM dan didapati tiada kartel sebagaimana yang dinyatakan (Tan Sri Abdul Hamid Bador) tersebut.

"Bagaimanapun, bagi memastikan ketelusan perkara ini dibawa ke Suruhanjaya Integriti Agensi Penguatkuasaan (SIAP) untuk meneruskan siasatan," katanya di Dewan Rakyat hari ini.

Berhubung isu pembelian pangkat dalam PDRM, pihak Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard (JIPS) telah selesai menjalankan siasatan dari sudut tatatertib dan mendapati isu tersebut tidak berlaku.

"Semua urusan kenaikan pangkat dilakukan menerusi prosedur yang betul. Selain itu, ingin saya tegaskan, semua isu yang dibangkitkan mana-mana pihak akan diberi penelitian sewajarnya berdasarkan laporan yang dibuat oleh pengadu.

"Bagaimanapun, mana-mana isu yang dibangkitkan tanpa butiran pengadu tidak akan dilayan. Budaya fitnah atau membentuk persepsi buruk tanpa bertanggungjawab terhadap isu yang ditimbulkan merupakan satu perbuatan yang sangat tidak bertanggungjawab.

"Tindakan akan diambil berdasarkan laporan polis yang bersandarkan kepada maklumat dan aduan sahih sahaja - yang bukan dalam bentuk surat layang sama ada secara fizikal atau digital," ujarnya.

Pertikaman lidah tercetus apabila R. Sivarasah (PH-Sungai Buloh) dan Ramkarpal Singh (PH-Bukit Gelugor) mempersoal sama ada PDRM telah merakam percakapan Abdul Hamid selaku bekas Ketua Polis Negara yang membuat dakwaan tersebut.

Sivarasah: Dalam isu ini, kenyataan yang dibuat mantan KPN (Abdul Hamid) juga melibatkan beberapa pertuduhan yang melibatkan YB Menteri (Hamzah) sendiri. Adakah dalam siasatan PDRM atau apa-apa siasatan lain, adakah Abdul Hamid dipanggil dan maklumat serta keterangan beliau direkodkan? Adakah itu berlaku atau tidak?

Ramkarpal: Satu soalan sama. Adakah kenyataan diambil daripada dia (Abdul Hamid)? Itu amat penting sebab dia yang membuat kenyataan itu.

Hamzah: Saya nak jelaskan di sini bahawa PDRM telah lakukan siasatan dan sudah tentu apabila kita lakukan siasatan, semua mereka terbabit kita jemput dan kita ambil kenyataan daripada mereka semua. Manakala perkara yang dibangkitkan selepas itu kita serahkan kepada SIAP untuk SIAP membuat siasatan selanjutnya.

Ramkarpal: Jadi YB, 'just yes or no'. Adakah kenyataan diambil daripada bekas KPN?

Hamzah: Saya telah pun menjawab bahawa segala...

Ramkarpal: Itu di dalam pengetahuan...

Hamzah: This is not court case. This is not in the court.

Ramkarpal: It's in your knowledge. I'm just asking, yes or no - is there any statement taken from him?

Hamzah: It's time for me to answer. You sit down. As I said just now...

Ramkarpal: It is for me to ask the question.

Hamzah: If you want to accept my answer, you accept.

Ramkarpal: You are not answering. How can I accept your answer, when you are not answering. It's a yes or no answer.

Hamzah: Saya nak menjelaskan beberapa perkara, semua mereka yang terbabit akan kita panggil kenyataan daripada mereka.

Ramkarpal: Sudah diambil? Is that what you are saying? Adakah itu jawapannya? Itu sahaja yang kita minta.

Hamzah: This is not a court for you to ask me that kind of question. I've already answered you. You boleh ambil...

Ramkarpal: Your answer is no answer, with due respect YB.