KUALA LUMPUR: Malaysia tidak melaksanakan dasar untuk menamatkan hayat kenderaan lama memandangkan langkah itu tidak praktikal, namun sentiasa menggalakkan rakyat untuk memilki kenderaan elektrik (EV) atau menggunakan pengangkutan awam.

Menteri Pengangkutan Anthony Loke berkata dasar itu tidak boleh dilaksanakan kerana ia mengambil kira keadaan sosioekonomi negara dan keperluan hidup rakyat terhadap pergantungan kepada kenderaan persendirian.

"Kita tidak mempunyai dasar untuk menamatkan hayat kenderaan seperti beberapa negara (lain). Kalau buat satu dasar untuk scrap (menghapuskan) kereta lama, ia akan beri kesusahan kepada rakyat.

"Data penjualan kereta juga meningkat, sekali gus menunjukkan keadaan ekonomi yang baik. Itu (ialah) indikator (yang menunjukkan) bahawa kita masih bergantung kepada penggunaan kenderaan persendirian, belum ada dasar menghalang pemilikan kenderaan (lama)," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media di luar Forum Pengangkutan Lestari Alam Sekitar Serantau Peringkat Tinggi ke-15 di Asia di sini hari ini.

Bagi mencapai Matlamat Pembangunan Mampan (SDG) ke arah negara bebas pelepasan karbon menjelang 2030, Loke berkata kerajaan akan terus membangunkan dan melabur dalam sistem pengangkutan awam untuk menjadikan perkhidmatan itu lebih baik.

"Dari segi nisbah pengangkutan awam kepada kenderaan persendirian, penggunaan sistem pengangkutan awam masih sangat rendah iaitu kira-kira kurang daripada 20 peratus.

"Kami berharap dapat meningkatkan penggunaan sistem pengangkutan awam, tetapi sudah pasti ia memerlukan banyak usaha dan masa serta pelaburan daripada kerajaan," katanya dan menambah usaha sedang diambil untuk menggalakkan industri EV di Malaysia.

Loke berkata 15 juta daripada 30 juta kenderaan di Malaysia ialah motosikal yang menyumbang kepada pelepasan karbon yang besar, justeru sebagai permulaan, kerajaan akan memberikan rebat hingga RM2,400 untuk pembelian motosikal elektrik seperti yang diumumkan dalam Belanjawan 2024 baru-baru ini.

-- BERNAMA