Jabatan Kesihatan Negeri Melaka menafikan terdapat satu kes COVID-19 dipindahkan ke Hospital Jasin dekat sini bagi mendapatkan rawatan seperti yang tular di media sosial.

Pengarahnya Dr Ismail Ali berkata berita yang tular melalui aplikasi WhatsApp tersebut tidak benar kerana tiada kes positif COVID-19 dilaporkan sehingga kini di negeri berkenaan.

"Jabatan Kesihatan meminta semua lapisan masyarakat supaya sentiasa berhati-hati dan tidak menularkan sebarang berita tidak benar yang boleh menimbulkan kebimbangan dalam kalangan masyarakat," katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata jabatan itu sentiasa memastikan semua langkah kawalan dan pencegahan penyakit mematuhi prosedur tetap operasi yang telah digariskan.

Orang ramai boleh mendapatkan maklumat sahih dengan menghubungi Pusat Kesiapsiagaan dan Tindak Cepat Krisis Kebangsaan (CPRC) di talian 03-88810200/03-88810600/03-88810700.

-- BERNAMA