MEKAH: Lembaga Tabung Haji (TH) mengesahkan setakat ini tiada kes membabitkan jemaah Malaysia yang menggunakan visa palsu atau ditahan pihak berkuasa Arab Saudi kerana cuba menunaikan ibadah haji tanpa visa sah.
Ketua Rombongan Haji Malaysia, Mohd Hisham Harun berkata, situasi itu hasil pematuhan tinggi jemaah Malaysia terhadap peraturan ditetapkan kerajaan Arab Saudi serta pemantauan berterusan pihak TH.
Bagaimanapun, beliau mengingatkan rakyat Malaysia supaya tidak mudah terpedaya dengan tawaran pakej haji tertentu menjelang Hari Wukuf yang bakal tiba tidak lama lagi.
“Kita faham ada segelintir masyarakat yang terdesak untuk menunaikan haji dan dalam keadaan itu mungkin ada pihak tertentu mengambil kesempatan menawarkan pelbagai pakej haji.
“Namun kita ingin tegaskan bahawa hanya individu yang mempunyai visa haji sah sahaja dibenarkan berada di Tanah Haram dan mengerjakan ibadah haji,” katanya ketika ditemui media di sini hari ini.
Menurut beliau, kerajaan Arab Saudi telah memberi peringatan tegas bahawa individu yang menggunakan visa selain visa haji seperti visa lawatan, pelancongan, pekerjaan atau pelajar tidak dibenarkan memasuki kawasan Mekah khususnya di Arafah, Muzdalifah dan Mina.
Katanya, tindakan undang-undang boleh dikenakan sekiranya individu terbabit ditangkap dan didapati bersalah.
“Tindakan sedemikian bukan sahaja memberi kesan kepada individu terlibat, tetapi turut boleh menjejaskan hubungan baik antara Malaysia dan Arab Saudi.
“Sebab itu kita sentiasa ingatkan rakyat Malaysia, tiada visa, tiada haji,” katanya.
Dalam masa sama, Mohd Hisham turut memaklumkan peluang untuk melaksanakan ibadah korban di Tanah Suci melalui TH masih dibuka menerusi sistem THiJARI sehingga 20 Mei ini.
Menurut beliau, kadar bayaran ditetapkan bagi seekor biri-biri ialah RM810 dan jemaah digalakkan merebut peluang berkenaan sebelum tarikh tutup penyertaan.