SEREMBAN: Tiada kesan tumpahan minyak di sepanjang Pantai Cermin, Port Dickson, dekat sini, kata Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Kesihatan, Alam Sekitar, Koperasi dan Kepenggunaan negeri, S.Veerapan.

Beliau berkata pasukan penyiasat Jabatan Alam Sekitar (JAS) Negeri Sembilan telah memeriksa keadaan air laut di sepanjang Pantai Cermin dan mendapati hanya kesan habuk kayu bakau ditemukan di beberapa bahagian sekitar pantai itu.

"Pasukan penyiasat turut melakukan tinjauan secara fizikal di kawasan paya bakau. Kesan tumpahan atau tompokan minyak tidak ditemui di sekitar kawasan paya bakau tersebut.

"Berdasarkan carian di sistem Geospas dan Google Maps, lokasi kejadian melibatkan sempadan Negeri Sembilan dan Melaka," katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Beliau berkata JAS negeri akan terus melakukan pemantauan fizikal keadaan air di sepanjang pantai dan kawasan paya bakau selain memantau kawasan Pantai Cermin dari semasa ke semasa.

Semalam, sebuah akhbar tempatan melaporkan Pantai Cermin di Port Dickson itu masih dicemari tompokan minyak akibat kejadian tumpahan minyak di pantai berkenaan setahun lepas.

-- BERNAMA