Skip to main content

Malaysia

Tiada lagi alasan tangguh, Mahkamah Rayuan tetapkan September prosiding kes Rosmah

71765508288_tbRosmahMansor.jpg
Pada 1 September 2022, Hakim, Datuk Mohamed Zaini Mazlan mensabitkan Rosmah atas tiga pertuduhan rasuah dan dikenakan hukuman penjara 10 tahun bagi setiap pertuduhan dan denda RM970 juta. - Gambar fail
Advertisement

PUTRAJAYA: Selepas hampir empat tahun disabitkan kesalahan atas tiga kes rasuah berkaitan projek solar hibrid bernilai RM1.25 bilion, rayuan Datin Seri Rosmah Mansor untuk mengetepikan sabitan dan hukuman di Mahkamah Rayuan di sini pada Rabu, ditangguhkan ke September depan.

Panel tiga hakim yang dipengerusikan Hakim, Datuk Azhahari Kamal Ramli menetapkan rayuan berkenaan didengar selama 16 hari, pada 1 hingga 4, 8 hingga 11 serta 21 hingga 30 September.

Beliau memutuskan demikian selepas membenarkan permohonan peguam, Datuk Jagjit Singh yang mewakili Rosmah, 75, untuk menangguhkan prosiding yang sepatutnya bermula pada Rabu.

Azhahari Kamal berkata, mahkamah mengambil kira surat bertarikh Oktober 2024 yang membenarkan penangguhan rayuan utama sehingga semua proses perundangan, termasuk permohonan semakan, diselesaikan sepenuhnya.

Katanya, kes itu telah berlarutan sejak 2022 dan menegaskan mahkamah tidak akan berkompromi dengan tarikh pendengaran baharu yang telah ditetapkan.

“Mahkamah turut mengambil kira isu peribadi yang sedang dihadapi seorang lagi peguam Rosmah, Datuk Akberdin Abdul Kader.

“Bagaimanapun, panel hakim menegaskan tiada lagi ruang untuk sebarang penangguhan selepas ini memandangkan kes tersebut telah berlarutan sejak 2022.

“Mahkamah mengingatkan, rayuan itu mesti bermula pada 1 September dan prosiding akan diteruskan mengikut jadual tanpa sebarang penangguhan di tengah-tengah perbicaraan,” katanya yang bersidang bersama Hakim, Datuk  Choo Kah Sing dan K Muniandy.

Beliau berkata, prosiding akan diteruskan pada hari Jumaat bagi memastikan rayuan dapat diselesaikan selewat-lewatnya pada 30 September.

Dalam prosiding ini, pendakwaan selaku responden diwakili Timbalan Pendakwa Raya, K Mangai.

Sebelum ini, mahkamah menetapkan pendengaran rayuan itu berlangsung selama tiga hari bermula 1 hingga 3 Julai.

Rosmah berdepan satu pertuduhan meminta RM187.5 juta dan dua kes menerima rasuah berjumlah RM6.5 juta daripada bekas Pengarah Urusan Jepak Holdings Sdn Bhd Saidi Abang Samsudin melalui bekas pembantunya Datuk Rizal Mansor.

Ia sebagai ganjaran kerana membantu Jepak Holdings mendapatkan Projek Bersepadu Sistem Solar Photovoltaic Hibrid serta Penyelenggaraan dan Operasi Genset/Diesel bagi 369 sekolah luar bandar di Sarawak bernilai RM1.25 bilion secara rundingan terus daripada Kementerian Pendidikan.

Ketiga-tiga kesalahan itu dilakukan di Seri Perdana di sini dan dua lokasi di Kuala Lumpur, iaitu Jalan‬ ‪Langgak‬ ‪Duta,‬ ‪Taman‬ ‪Duta‬ dan sebuah pusat beli belah di Jalan Putra, antara Mac 2016 dan 7 September 2017.

Semua pertuduhan mengikut Seksyen 16(a)(A) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 24(1) akta sama, yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda jumlah atau nilai suapan atau RM10,000, mengikut mana yang lebih tinggi, jika sabit kesalahan.

Pada 1 September 2022, Hakim, Datuk Mohamed Zaini Mazlan mensabitkan Rosmah atas tiga pertuduhan rasuah dan dikenakan hukuman penjara 10 tahun bagi setiap pertuduhan dan denda RM970 juta.

Mahkamah turut memerintahkan Rosmah menjalani hukuman penjara tambahan 10 tahun sekiranya gagal membayar denda tersebut.

Bagaimanapun, pelaksanaan hukuman itu ditangguhkan sementara menunggu rayuan diputuskan.

Rosmah mengemukakan permohonan untuk menggugurkan Mohamed Zaini pada saat akhir, kerana mendakwa draf penghakiman keputusan berkenaan telah disediakan pihak ketiga kemudian dibocorkan sebelum ia dikeluarkan secara rasmi.

Ia merujuk laporan portal bertajuk ‘Rosmah Mansor Will Be Pronounced Guilty On 1st September 2022′ dan ‘Download Or View The 71-Page Judgement And Guilty Verdict On Rosmah Mansor Here’ yang disiarkan pada 26 Ogos 2022.

Rosmah memberikan alasan, Mohamed Zaini yang kini hakim Mahkamah Rayuan, telah melanggar Kod Etika Hakim 2009 susulan dakwaan bahawa deraf penghakiman yang bocor telah disediakan Unit Penyelidikan Mahkamah Kuala Lumpur untuk hakim itu menyampaikan keputusan pada 1 September 2022.

Pada 3 Mac lalu, Mahkamah Persekutuan menolak rayuan akhir Rosmah untuk menggugurkan Mohamed Zaini yang kini merupakan Hakim Mahkamah Rayuan, selepas memutuskan tiada kekhilafan yang mewajarkan campur tangan mahkamah. - Sinar Harian

Must Watch Video

Advertisement