Tiada lagi had umur, pendapatan permohonan pembiayaan pendidikan - CEO Yayasan Peneraju

Ibrahim berucap semasa salah satu program 'Bah, Upgrade Kita Bersama YP' di Sabah pada Oktober lalu. - Foto/ Yayasan Peneraju
KUALA LUMPUR: Yayasan Peneraju (YP) telah memansuhkan had umur dan pendapatan untuk melayakkan individu memohon skim pembiayaan pendidikan yang ditawarkan.
Ringkasan AI
- Yayasan Peneraju (YP) memansuhkan had umur dan pendapatan bagi membolehkan lebih ramai individu, termasuk dari kumpulan T20, B40, M40, dan T20, memohon skim pembiayaan pendidikan yang ditawarkan.
- CEO YP, Ibrahim Sani, menekankan keperluan untuk memberi akses kepada latihan profesional kepada kumpulan usia 35 tahun ke atas yang semakin memerlukan upskilling terutamanya dalam bidang teknologi.
- YP aktif menjalankan program di pantai timur, Sabah, dan Sarawak untuk menjangkau bakat-bakat berpotensi, dengan pendaftaran bakat tertinggi pada 2025 mencatatkan 13,000 pendaftaran yang disahkan dan skim pembiayaan meningkat kepada RM245 juta.
"Sebelum ini, jika pemohon berada dalam kumpulan T20, tidak layak memohon biasiswa atau pembiayaan pendidikan YP. Sekarang, tidak kira sama ada pemohon dalam kumpulan B40, M40 atau T20 boleh memohon.
“Kedua adalah dari segi had umur. Sebelum ini semua program pembiayaan kita hanya boleh dimohon oleh individu berusia 35 tahun dan ke bawah. Sedangkan kita faham bahawa kumpulan yang lebih banyak hilang pekerjaan melibatkan kumpulan usia 35 tahun dan ke atas. Bahkan, kumpulan berusia antara 40 hingga 50 tahun lebih memerlukan latihan yang agresif, terutamanya dalam latihan teknologi,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam program Agenda AWANI pada Isnin.
Tiada lagi had umur, pendapatan permohonan pembiayaan pendidikan – CEO Yayasan Peneraju
Tambah Ibrahim, YP juga giat melaksanakan program untuk mendekati lebih ramai bakat-bakat berpotensi di pantai timur serta Sabah dan Sarawak."Sebelum ini, YP memberi tumpuan khusus di pantai barat... Perlis hingga Johor. Kita telah berikan perhatian lebih mendalam terkait gerak kerja lapangan di pantai timur dan Borneo... seperti 'Jom Explore! Why Not YP?' untuk menggalakkan pelajar lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) untuk sertai persijilan akauntan bertauliah.
“Seterusnya program ‘Bah, Upgrade Kita Bersama YP’ untuk warga Sabah mengenal pasti program-program yang diperlukan mereka untuk upskilling atau reskilling dalam bidang teknologi dan profesional,” jelasnya.
Menurut Ibrahim lagi, tahun 2025 mencatatkan pendaftaran bakat tertinggi sejak penubuhan YP pada 2012 dengan 13,000 pendaftaran yang telah disahkan, selain 18,000 lagi masih belum membuat tuntutan. Angka ini jauh melebihi purata tahun-tahun sebelumnya yang hanya sekitar 6,000 pendaftaran.
Pada masa sama, skim pembiayaan turut melonjak kepada lebih RM245 juta, iaitu dua kali ganda berbanding jumlah sebelumnya sebanyak RM130 juta. Perubahan ketara ini disokong oleh pendekatan baharu yang beralih daripada menyalurkan dana kepada institusi pendidikan kepada menyalurkan terus kepada pemohon.
Yayasan ini juga merupakan satu-satunya Syarikat Berhad Menurut Jaminan (SBMJ) yang memiliki kelulusan pengecualian cukai di bawah Seksyen 44(6) Akta Cukai Pendapatan 1967 dan menawarkan pembiayaan pendidikan.
Menurut Ibrahim, setiap bakat yang dipilih mempunyai potensi besar dan seharusnya bertanggungjawab menguruskan pendidikan mereka dengan baik, selain diyakini mampu memberikan yang terbaik untuk melengkapkan pengajian yang dipilih serta memenuhi komitmen kewangan selepas menerima pembiayaan yang disediakan.
Agenda AWANI: Pembangunan pemimpin dan pencipta nilai masa depan
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami


