KOTA KINABALU: Bermula 4 Oktober ini, Pusat Pemberian Vaksin (PPV) Institut Pengajian Tinggi (IPT) Universiti Malaysia Sabah (UMS) hanya akan memberikan vaksin kepada individu yang telah mempunyai janji temu di aplikasi MySejahtera.

Dalam satu kenyataan yang dikeluarkan UMS, prosedur baharu tersebut menjadikan PPV itu tidak lagi menerima penerima vaksin secara 'walk-in’ dan suntikan vaksin hanya diberikan kepada penerima dos ke-2 yang mempunyai janji temu.

“Slot ‘walk-in’ tidak lagi disediakan untuk suntikan, sama ada dos pertama atau dos ke-2. Sebarang maklumat lanjut boleh menghubungi hotline PPV IPT UMS ditalian 013-8151373,” demikian menurut kenyataan itu, pada Khamis.

Bagaimanapun, waktu pengoperasian PPV tersebut masih sama iaitu Isnin hingga Jumaat, bermula pukul 8 pagi hingga 5 petang.

Untuk rekod, PPV IPT UMS telah beroperasi sejak 14 Jun lalu melalui janji temu aplikasi MySejahtera, sebelum membuka kaedah ‘walk-in’ untuk orang ramai dengan kapasiti sehingga 3,000 dos vaksin sehari.

Sehingga kini, lebih 100,000 dos telah diberikan melalui PPV itu, selain program-progeam Outreach di pelbagai tempat termasuk di kawasan perkampungan terpencil, penjara Kota Kinabalu dan Pusat Tahanan Sementara.