Malaysia tidak pernah menerima kritikan dari mana-mana negara yang rakyat mereka ditangkap kerana terbabit dengan kegiatan militan antarabangsa di negara ini, kata Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Dr
Ahmad Zahid Hamidi.

Ahmad Zahid berkata sebaliknya Malaysia dipuji atas tindakan tegas itu yang yang dibuat demi keselamatan rakyat negara ini dan dunia.

Katanya pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM) terutama bahagian Cawangan Khas tidak bertolak ansur dengan kegiatan jenayah yang dilakukan mana-mana kongsi gelap dan pertubuhan militan yang boleh menggugat keselamatan negara.

"Saya memberi jaminan PDRM dan pihak Cawangan Khas akan tegas melaksanakan tanggungjawab membanteras kegiatan jenayah dan keganasan tempatan dan pihak (militan) luar yang menjadikan Malaysia sebagai lokasi mereka," katanya kepada pemberita sewaktu lawatannya ke Ibu Pejabat Polis Daerah Baling di sini hari ini.

Hadir sama pada lawatan itu adalah Ketua Polis Kedah Datuk Ahmad Ibrahim.

Ahmad Zahid juga berkata pihaknya akan sentiasa memantau kegiatan ini agar tidak timbul tanggapan daripada masyarakat antarabangsa bahawa Malaysia menjadi salah satu negara tumpuan atau sarang untuk menggerakkan keganasan dan aktiviti militan.

"Kita serius dalam soal ini bukan sekarang saja... daripada dulu lagi kita tidak mahu sebarang kegiatan militan dan keganasan," katanya.

Sementara itu, beliau berkata kerajaan juga tidak pernah menyokong mana-mana rakyat negara ini yang menyertai apa-apa pergerakan berunsur militan di negara luar termasuk di Asia Barat.

Beliau berkata kerajaan sentiasa bergerak aktif mengekang kegiatan sedemikian, termasuk bekerjasama dengan Interpol (polis antarabangsa) untuk memastikan kegiatan ekstremis individu terbabit dapat dihalang.

"Kita bekerjasama dengan semua pihak di luar negara sama ada kepada negara berkenaan ataupun organisasi antarabangsa dalam hal ini Interpol atau pun Aseanapol untuk kita mendapat maklumat," katanya.