KOTA KINABALU: Dakwaan penduduk di 20 lokaliti yang dilaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) terkesan ekoran tidak menerima bakul makanan adalah tidak benar.

Menurut Presiden Majlis Perbandaran Tawau (MPT), Arnold Joibi, sebanyak 8,752 bakul makanan telah diagihkan kepada 7,372 ketua isi rumah (KIR) melibatkan lokaliti-lokaliti itu sejak 1 April lalu.

Malah, 540 bakul makanan turut disalurkan ke Kampung Muhibbah Raya, Tawau lokasi yang mana penahanan tujuh penunjuk perasaan, semalam yang mendakwa lokasi tersebut tidak menerima bantuan berkenaan.

"Pihak MPT secara konsisten memantau perkembangan dan sentiasa menyalurkan bantuan ke lokasi yang terkesan (PKPD)," katanya dalam satu kenyataan media pada Ahad. 


Protes PKPD | Jika benar dipukul, buat laporan - Hazani

Tambah beliau, pelaksanaan PKPD telah dilanjutkan di tiga lokaliti di daerah itu melibatkan Kampung Muhibbah Raya, Bandar Sri Indah dan Kampung Titingan.

Jelasnya lagi, bantuan bakul makanan tambahan akan disalurkan ke tiga-tiga lokasi tersebut mulai esok (Isnin).

"MPT juga menasihatkan semua pihak di daerah ini terus mematuhi SOP kerana Tawau sering kali mencatatkan rekod kes COVID-19 tertinggi," katanya.

Untuk rekod, petang semalam, tujuh individu berusia 26 hingga 31 tahun yang ditahan membabitkan perhimpunan protes terhadap Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di Kampung Muhibbah Raya, Tawau. 

BACA: Tujuh individu direman lakukan tunjuk perasaan bantah lanjutan PKPD

Kenyataan media dikeluarkan Presiden Majlis Perbandaran Tawau, Arnold Joibi.