Pihak gereja di Tawau mengambil langkah menghentikan sementara upacara keagamaan yang berlangsung setiap Ahad.

Menurut paderi Gereja Anglikan Saint Patrick Tawau, ia bagi mengelakkan wabak COVID-19 daripada terus merebak.

“Terdapat lebih 2,000 kehadiran, kerana itu salah satu sebab kita terpaksa mengikuti saranan kerajaan dan juga pihak Diosis Sabah melalui surat surat pekeliling yang sudah disampaikan.

“Maka, kita terpaksa mengambil tindakan ini untuk menutup sementara gereja demi mengelak penyebaran virus COVID-19,” katanya.

Bagaimanapun, semua penganut Kristian Protestan akan melaksanakan upacara keagamaan di rumah masing-masing bersama keluarga melalui panduan yang dimuat naik dari gereja menerusi penstriman secara langsung.

“Gereja St Patrick tidak akan adakan kebaktian, tetapi kita adakan kebaktian di rumah di mana kita dapat melayari internet dan telefon pintar, di mana ia adalah satu kelainan,” ujarnya.