Kementerian Luar Negeri akan terus memantau perkembangan terkini setelah bencana puting beliung berlaku di Oklahoma, Amerika Syarikat.

Bencana berkenaan berlaku pada 20 Mei 2013, jam 2:56 petang (waktu tempatan), telah membunuh sekurang-kurangnya 51 orang, 20 daripada mereka adalah kanak-kanak, dimana ia telah menyebabkan kemusnahan di seluruh bahagian bandar dan pinggir bandar memusnahkan rumah, kereta dan menghancurkan sekurang-kurangnya dua buah sekolah.

Menurut kenyataan yang dikeluarkan Wisma Putra, tiada rakyat Malaysia yang dilaporkan terlibat di dalam kejadian bencana puting beliung tersebut sehingga hari ini.

Seorang jurucakap cuaca memberitahu AFP bahawa puting beliung berkenaan diklasifasikan sebagai EF5 yang membawa angin selaju 320 kilometer sejam.

“Ia adalah EF5, klasifikasi tertinggi untuk puting beliung,” kata Kelly Pirtle dari NOAA National Severe Storms Laboratory di Norman, Oklahoma.

Wisma Putra akan memaklumkan maklumat terkini dari semasa ke semasa namun ahli keluarga atau sahabat boleh juga menghubungi Pejabat Konsulat Jeneral Malaysia, New York di talian +1-212 490 2722 dan +19179696700.