Tiada royalti petroleum untuk Kelantan, hanya wang ihsan - Tengku Zafrul

Ridauddin Daud
November 25, 2021 06:48 MYT
Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz berkata, Petronas tidak akan membuat bayaran royalti tunai kepada mana-mana negeri di Semenanjung termasuk Kelantan. - Gambar fail
KUALA LUMPUR: Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz berkata, Petronas tidak akan membuat bayaran royalti tunai kepada mana-mana negeri di Semenanjung termasuk Kelantan.
Menerusi jawapan bertulis di Dewan Rakyat hari ini, beliau berkata ia disebabkan kedudukan medan pengeluaran petroleum yang beroperasi adalah di luar perairan negeri Kelantan.
“Namun begitu, memandangkan lokasi medan petroleum berdekatan dengan perairan negeri Kelantan, maka Kerajaan Persekutuan membuat pembayaran dalam bentuk wang ihsan.
“Ia bagi melaksanakan projek dan program untuk manfaat rakyat di negeri tersebut,” katanya dalam jawapan bertulis itu.
BACA: Beri sedikit royalti untuk pengajian, sekolah pondok, orang miskin - Husam
BACA: RM61.32 bilion bayaran hasil petroleum kepada empat negeri bagi 2008-2020
Beliau menjawab soalan daripada Ahmad Fadhli Shaari (Pas - Pasir Mas) yang meminta kerajaan menyatakan status terkini tuntutan bayaran royalti tunai oleh Kerajaan Negeri Kelantan.
Isu royalti minyak melibatkan negeri Kelantan masih lagi diperkatakan dan meskipun Pas kini sebahagian daripada kerajaan, isu tersebut masih lagi belum menemui jalan penyelesaian tuntas.
BACA: Gesa kerajaan beri wang ihsan, royalti minyak kepada Pahang - Pemuda UMNO Bera
BACA: Royalti minyak: Kerajaan jamin Terengganu akan terima bayaran ikut jadual
Sebelum ini, desakan demi desakan mendorong kerajaan persekutuan menyalurkan bantuan wang ihsan kepada kerajaan Kelantan melalui Jabatan Pembangunan Persekutuan (JPP) dan Majlis Agama Islam Dan Adat Istiadat Melayu Kelantan (MAIK) bermula 2014, dianggarkan lebih RM200 juta.
Bagaimana pun, semasa pentadbiran kerajaan Pakatan Harapan (PH), wang ihsan disalurkan terus kepada akaun kerajaan Kelantan.
Pada tahun 2020, kerajaan negeri itu memperolehi lebih RM400 juta wang hasil royalti di kawasan tuntutan itu.
#Kelantan #Tengku Zafrul #Petronas #wang ihsan #Parlimen