KUALA LUMPUR: Tidak ada sebab untuk mana-mana pihak mempersoalkan isu kandungan vaksin sehingga menghalang proses pengambilannya.

Penolong Profesor, Islamic Revealed Knowledge Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Dr Ayman al-Akiti berkata, ia selamat selepas seluruh dunia telah sepakat dan menerima laporan keberkesanan vaksin tersebut kepada seluruh umat.

"Seluruh dunia sepakat dan menerima laporan tersebut dan berkata vaksin ini selamat serta berhasil ketika mereka mendapatkan vaksin di negara mereka, jadi kenapa hendak dengar ucapan mereka yang tidak ada latar belakang?

"Hari ini jumlahnya cukup jumlah yang dianggap diterima sebagai satu fakta," katanya semasa sidang video pada Rabu.

BACA: Tangani golongan skeptikal, anti-vaksin dengan terperinci - Pakar

TONTON: 
Golongan anti vaksin boleh didakwa

Dalam pada itu katanya, isu berita palsu dan teori menghairankan mengenai pengambilan vaksin seharusnya ditolak.

Ujarnya, banyak mufti di seluruh dunia juga sudah melihat hukum harus penerimaan vaksin pandemik berkenaan.

Tambahnya kesusahan rakyat selama lebih satu tahun berhadapan COVID-19 harus diraikan dengan kehadiran vaksin.

Ia sekali gus menyelesaikan apa sahaja persoalan serta masalah berbangkit berhubung keraguan pengambilannya.

Katanya, sebarang penggunaan vaksin dengan tujuan untuk kembali kepada kehidupan asal juga adalah dibenarkan dalam Islam.


Sebelum ini, Pakar Perubatan Kesihatan Awam, Profesor Datuk Dr Syed Mohamed Aljunid Syed Junid berkata, kerajaan perlu menangani dengan terperinci dakyah golongan anti-vaksin termasuk mereka yang skeptikal terhadap vaksin COVID-19.

Jelasnya, terdapat juga beberapa individu berpengaruh yang turut membawa persepsi negatif terhadap vaksin itu.