KUALA LUMPUR: Dana Yayasan Akalbudi datang dari wang sendiri serta hasil derma individu dan kumpulan tertentu, kata Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi.

Ketika memberi keterangan sebagai saksi pertama pembelaan di Mahkamah Tinggi hari ini, Ahli Parlimen Bagan Datuk itu berkata, yayasan tersebut tidak pernah menerima dana baik dari kerajaan mahupun pembayar cukai.

Kata bekas Timbalan Perdana Menteri itu lagi, beliau sendiri mempunyai pendapatan yang mencukupi sewaktu memegang jawatan di dalam sektor swasta dan kerajaan untuk membiayai yayasan tersebut.

“Yang Arif, daripada semua sumber (Yayasan Akalbudi), tidak ada sesen pun datang dari dana kerajaan, pembayar cukai, atau dari orang awam,” katanya ketika disoal peguam beliau, Datuk Ahmad Zaidi Zainal.

Ahmad Zahid berkata, beliau pernah memegang jawatan dalam sektor korporat selain menerajui beberapa syarikat yang disenaraikan di Bursa serta menjadi Pengerusi Bank Simpanan Nasional.

Katanya lagi, selepas itu baru beliau menyertai kerajaan sebagai timbalan menteri, menteri dan juga timbalan perdana menteri.

Selain itu, Ahmad Zahid berkata, beliau juga aktif dalam aktiviti membeli dan menjual saham dan banyak melabur dalam syarikat cip biru, tawaran awam permulaan (IPO).

Jelas beliau lagi, hasil pendapatan yang diperolehnya ketika itu melebihi keperluan diri dan keluarganya.

Atas sebab itu, beliau mengambil keputusan untuk menderma lebihan pendapatan bagi tujuan kebajikan dan agama.

Ditanya mengenai jumlah sebenar sumbangan peribadi beliau sendiri kepada Yayasan Akalbudi, Ahmad Zahid berkata, beliau tidak dapat mengingati dengan tepat, tetapi tidak menolak jumlah dana sehingga puluhan juta Ringgit dari aktiviti korporat beliau.

Pada 24 Januari lepas, Hakim Mahkamah Tinggi, Sequerah memerintahkan Ahmad Zahid membela diri atas 12 pertuduhan pecah amanah, lapan pertuduhan rasuah dan 27 untuk pengubahan wang haram membabitkan puluhan juta ringgit milik yayasan itu, selepas mendapati pihak pendakwaan telah membuktikan kes prima facie terhadapnya.

Dalam penghakimannya, Sequerah berkata, pihak pendakwaan telah membuktikan semua unsur dalam kesemua pertuduhan dan berjaya mewujudkan kes prima facie terhadap tertuduh.

Untuk rekod, Ahmad Zahid didakwa buat pertama kali pada 19 Oktober 2018 di Mahkamah Sesyen di sini atas pertuduhan tersebut.